Adinin Group sambut Hari Raya

Adinin Group sambut Hari Raya

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 10 Ogos – Dengan bertemakan kemesraan dalam perpaduan, Syarikat Adinin Group Of Companies hari ini mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi para kakitangan dan pelanggan-pelanggan syarikat tersebut serta masyarakat di Daerah Belait yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Pandan, Kuala Belait.

Hadir di majlis tersebut selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, diiringi oleh Pengarah Urusan Adinin Group of Companies, Haji Musa bin Haji Adinin.

Sekitar 200 tetamu dari Haji Adinin and Sons (B) Sdn Bhd (HAS) dan Adinin Works and Engineering Sdn Bhd (AWE) serta kanak-kanak dari Pusat Ehsan Kuala Belait dan Pusat Bahagia Eric Goh hadir bagi memeriahkan sambutan acara tersebut.

Untuk memeriahkan majlis tersebut, beberapa aktiviti seperti cabutan bertuah diadakan untuk menghiburkan para tetamu di sepanjang acara itu.

Gambar ramai bersama tetamu-tetamu khas di Sambutan Aidilfitri Adinin Group Of Companies.
Gambar ramai bersama tetamu-tetamu khas di Sambutan Aidilfitri Adinin Group Of Companies.

Menurut Pengurus Sumber Manusia Adinin Group of Companies, Haji Abed bin Haji Abdul Hamid dalam temu ramahnya bersama Media Permata berkata beliau bagi pihak syarikat itu amat gembira melihat kelibat kanak-kanak yang suka dengan aktiviti membuat belon dengan hiasan binatang kesukaan mereka dan dapat merasakan kemeriahan suasana di majlis itu apabila melihat mereka senyum sambil mendapatkan paket-paket hijau yang diberikan oleh para kakitangan syarikat.

Selain terhibur dengan persembahan-persembahan nyanyian Aidilfitri dari para kakitangan syarikat, orang ramai juga telah mengambil peluang untuk bergambar ramai di pondok sebagai kenang-kenangan.