Adios Real – Casillas

Adios Real – Casillas

MADRID, 12 Julai (AFP) – Real Madrid sudah mencapai persetujuan bersama kelab Portugal, FC Porto bagi perpindahan kapten dan penjaga gol, Iker Casillas, umum kelab itu, hari ini.

Casillas yang boleh dianggap legenda kelab gergasi Sepanyol itu meninggalkan pasukan yang membesarkannya selepas menyertai akademi remaja sejak berusia sembilan tahun pada 1990.

Sepanjang 16 tahun menyumbang tenaga bersama Real, Casillas sudah memenangi 19 trofi utama bersama kelab itu.

“Real Madrid dan FC Porto sudah bersetuju dengan perpindahan Iker Casillas ke kelab Portugal,” kata Real dalam satu kenyataan.

“Bukan saja salah seorang penjaga gol terbaik kelab ini meninggalkan kita, hari ini, penjaga gol terbaik dalam sejarah kelab ini dan sejarah bola sepak Sepanyol bergerak ke tahap baharu dalam karier bola sepaknya.”

Iker Casillas (kanan) tiba untuk menyampaikan kenyataannya di stadium Santiago Bernabeu di Madrid, petang tadi. – Reuters
Iker Casillas (kanan) tiba untuk menyampaikan kenyataannya di stadium Santiago Bernabeu di Madrid, petang tadi. – Reuters

Juara dunia dan juara dua kali Eropah bersama Sepanyol, Casillas berjaya menjulang lima kejuaraan La Liga Sepanyol, tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah dan dua Piala Raja Sepanyol sejak kali pertama beraksi bersama Real pada 1999.

Penjaga gol berusia 34 tahun itu mempunyai baki kontrak selama dua tahun namun Real dilaporkan berminat untuk mendapatkan penjaga gol muda Manchester United, David de Gea.

Ketika Real dibimbing Jose Mourinho, Casillas gagal mendapat tempatnya selaku penjaga gol utama namun kembali diberikan kepercayaan di bawah bimbingan Carlo Ancelotti yang membawa kepada kejayaan ketiga Liga Juara Eropah, tahun lalu.

“Kepada Real Madrid, hari ini adalah harinya, lebih daripada itu, terima kasih atas pengiktirafan… ucapan selamat tinggal ini membangkitkan ribuan sensasi dan kenangan dengan harapan, jangkaan, pengorbanan, kekuatan dan kejayaan yang unik,” umum kelab itu.

“Iker berpindah, tetapi legasi beliau kekal di sini selama-lamanya. “Terima kasih Iker, untuk semua yang anda lakukan. Terima kasih kerana menjadi simbol yang terbaik dalam sejarah kami.

Kamu akan berpindah namun kami tidak pernah akan lupa kamu sentiasa berada di hati Real Madrid.”

ARTIKEL YANG SAMA