Adiq pelumba terbaik Asia

Adiq pelumba terbaik Asia

MELAKA, 3 Mac (Bernama) – Kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhamad Adiq Husainie Othman meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pada Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang melabuhkan tirai di sini semalam, membuktikan pelumba negara mampu bersaing dengan pelumba asing.

Kemenangan tersebut sekaligus menjadi pengubat duka pasukan TSG yang gagal meraih kedudukan podium walaupun telah memberikan saingan sengit kepada pelumba pasukan pro jelajah dan pro benua yang menguasai edisi ke-21 kejohanan berbasikal terkemuka di benua Asia itu.

Pelumba Itali Andrea Guardini, 26, pula layak dijulang selaku pelumba terhebat dalam sejarah penganjuran LTdL yang dianjurkan sejak 1996 apabila meraih kemenangan peringkat yang ke-22 untuk dirinya.

Beliau yang meraih 18 kemenangan peringkat sebelum ini, terus mempamerkan belangnya apabila membolot empat lagi kemenangan peringkat termasuk peringkat terakhir (peringkat kelapan) sejauh 119km dari Batu Pahat ke Dataran Pahlawan, di sini selain menggondol jersi teal selaku Raja Pecut buat kali ketiga selepas 2011 dan 2012.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (depan kiri) bergambar bersama barisan pemenang peringkat keenam Putrajaya-Rembau Le Tour De Langkawi hari ini. – Bernama
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (depan kiri) bergambar bersama barisan pemenang peringkat keenam Putrajaya-Rembau Le Tour De Langkawi hari ini. – Bernama

Wakil Afrika Selatan, Reinardt Janse Van Rensburg dari pasukan Dimension Data pula mengekalkan penguasaan pelumba benua Afrika untuk jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan manakala pelumba China, Wang Meiyin dari Hengxiang Cycling Team memenangi jersi polka dot selaku Raja Bukit buat kali kedua selepas 2013.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports (M) Sdn Bhd, Emir Abdul Jalal yang ditemui pemberita selepas berakhirnya LTdL 2016, memuji persembahan cemerlang skuad berbasikal negara terutamanya pasukan TSG yang membuktikan keupayaan mereka bersaing dengan pelumba asing.

Ciclista Sports (M) Sdn Bhd merupakan syarikat pengurusan acara berbasikal yang diberi mandat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan LTdL dari 2016-2017.

Beliau pada masa yang sama turut berpuas hati dengan penganjuran kejohanan kali ini hasil kerjasama erat antara semua pihak terlibat termasuk KBS, kerajaan negeri terlibat selain polis dan Rela, namun mengakui terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk memantapkan lagi penganjuran LTdL pada musim seterusnya.

ARTIKEL YANG SAMA