Adun ikrar jaga kepentingan masyarakat Penan di Murum

Adun ikrar jaga kepentingan masyarakat Penan di Murum

BELAGA, 25 Sept – Pelaksanaan projek empangan kuasa hidroelektrik (HEP) Murum tidak akan berjaya tanpa kerjasama baik semua pihak khususnya masyarakat Penan di kawasan itu, kata Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (Pengangkutan Sungai dan Keselamatan) Sarawak Liwan Lagang.

Sambil memberi jaminan bahawa kepentingan masyarakat Penan akan terus dijaga, katanya beliau selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga dan ADUN Murum Kennedy Chuk Pai Ugon telah merangka strategi untuk mengubah kehidupan masyarakat berkenaan yang terlibat dengan HEP Murum.

Katanya Sarawak Energy Berhad (SEB) yang turut memainkan peranan penting dalam pembinaan HEP Murum turut merancang penganjuran pelbagai aktiviti kebudayaan masyarakat Penan bagi memastikan adat resam masyarakat itu tidak ditelan zaman dan terus dihargai generasi akan datang.

Bagi memberi ruang bagi pelaksanaan HEP Murum, masyarakat Penan di kawasan itu dipindahkan ke dua kawasan penempatan semula iaitu di Tegulang dan Metalum, kata kepada pemberita ketika ditemui pada program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (MCTC) di sini, hari ini.

Pesta Batu Tungun, upacara keagamaan dan pemujaan masyarakat Penan pada batu dianggap suci iaitu Batu Tungun, akan diadakan esok sebelum perasmian HEP Murum milik SEB yang dijadual disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada keesokkannya (Selasa).

Empangan hidroelektrik (HEP) Murum yang bernilai RM3.5 bilion akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada 27 Sept ini. Empangan itu telah beroperasi sepenuhnya serta mempunyai reka bentuknya yang inovatif diyakini bakal menarik ramai pihak membuat kajian termasuk pereka empangan, kontraktor dan jurutera. – Bernama
Empangan hidroelektrik (HEP) Murum yang bernilai RM3.5 bilion akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada 27 Sept ini. Empangan itu telah beroperasi sepenuhnya serta mempunyai reka bentuknya yang inovatif diyakini bakal menarik ramai pihak membuat kajian termasuk pereka empangan, kontraktor dan jurutera. – Bernama

HEP Murum membekalkan tenaga elektrik sehingga 944 megawatt merupakan projek tenaga hidroelektrik pertama di negeri ini yang dibina di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi menjana kuasa untuk keperluan pelabur terutama di kawasan Taman Perindustrian Samalaju.

Sementara itu, Chuk berkata HEP Murum bakal mentransformasikan kawasan pedalaman serta masyarakat Penan di Murum.

“Saya percaya dengan terbinanya empangan ini pembangunan akan dapat dirasai oleh masyarakat kita di Murum terutamanya Penan yang jauh ketinggalan. Wujudnya HEP Murum ini sekaligus mewujudkan jaringan jalan raya yang baik. – Bernama