Aduriz: Tua namun berbisa

Aduriz: Tua namun berbisa

BARCELONA, 13 Nov – Aritz Aduriz muncul penjaring gol tertua Sepanyol apabila membantu Sepanyol membelasah Macedonia 4-0 ketika meledak gol terakhir dalam aksi kempen Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.

Pada usia 35 tahun dan 275 hari, penyerang tinggi lampai Athletic Bilbao itu lebih tua 50 hari berbanding pemegang rekod sebelum ini Jose Maria Pena yang melakukannya pada tahun 1930 ketika berdepan Portugal.

Bagaimanapun, Sepanyol terpaksa berdepan halangan sukar daripada Macedonia sebelum mencatat kemenangan mudah dengan memperagakan persembahan hebat babak kedua untuk kekal di tangga teratas kumpulan.

Usia 35 tahun tidak menghalang untuk Aritz Aduriz menjaringkan gol buat pasukannya. - AFP
Usia 35 tahun tidak menghalang untuk Aritz Aduriz menjaringkan gol buat pasukannya. – AFP

Jaringan sendiri Darko Velkovski memecahkan kebuntuan di Stadium Nuevo Los Carmenes di Granada pada minit ke-34 selepas skuad kendalian Julen Lopetegui terselamat daripada beberapa ketakutan awal.

Vitolo menggandakan kelebihan pada minit ke-63 sebelum pertahanan Nacho Monreal dan penyerang gantian Aduriz melengkapkan kemenangan dalam tempoh selang seminit, ketika permainan berbaki kira-kira lima minit.

Sepanyol kini mengungguli kumpulan dengan 10 mata, terikat dengan pasukan tangga kedua Itali, yang mencatat kemenangan 4-0 di Liechtenstein, awal pagi tadi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA