‘Adventure Training’ ke Rumah Panjang Teraja

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Nov – Lebih 30 orang dalam kalangan pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pertahanan yang terdiri daripada Polis Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan aktiviti luar ‘Adventure Training’ ke Rumah Panjang Teraja, di sini.

Ia diteruskan dengan mengadakan Ekspedisi Jungle Tracking ke dua buah kawasan wasai iaitu Wasai Beluluk dan Wasai Teraja.

Rombongan yang diketuai oleh Mejar Pengiran Rudy Halyamin bin Pengiran Haji Chuchu tersebut telah dialu-alukan oleh mantan Ketua Rumah Panjang Teraja Awang Jamit Anak Lasah serta ahli-ahli jawatankuasa dan biro wanita rumah panjang tersebut dengan diiringi persembahan guling tangan.

Rombongan juga berpeluang mendengarkan taklimat ringkas mengenai latar belakang dan kemajuan Rumah Panjang Teraja yang telah disampaikan oleh setiausaha biro rumah panjang tersebut, Awang Gaung Jamit.

Sesi bergambar ramai sebagai kenang-kenangan di kalangan para pelawat ke Rumah Panjang Teraja.

Di samping itu, rombongan turut menyaksikan persembahan kebudayaan Ngajat dan peraduan menyumpit yang telah disediakan bagi kunjungan berkenaan di samping menikmati hidangan tengah hari, yang terdiri daripada menu ala kampung termasuk masakan gulai umbut tuhau, rebung dan ayam dalam buluh serta sayur pucuk ubi dengan gulaian umbut kantan serta sayur buah cempedak.

Sebelum mengakhiri lawatan, rombongan telah mengadakan sesi bergambar ramai dan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh Awang Bohari bin Abdullah dari Sakam Adventure bagi mewakili ahli Jawatankuasa dan Biro Wanita Rumah Panjang Teraja kepada ketua rombongan pelawat tersebut.