Advocaat bimbang

Advocaat bimbang

LONDON, 24 Sept (Reuters) – Pengurus Sunderland, Dick Advocaat bimbang penyokong kelab itu tidak lagi menyebelahinya selepas The Black Cats ketinggalan 4-0 sebelum berakhir babak pertama pertembungan pusingan tiga Piala Liga menentang Manchester City, Rabu lalu.

Mac lalu, sekumpulan besar penyokong Sunderland bertindak meninggalkan stadium selepas kelab itu ketinggalan 4-0 ketika bertemu Aston Villa yang menjadi perlawanan terakhir Gus Poyet bersama kelab itu.

Pada aksi bertemu Man City, Sunderland tewas 4-1. “Untuk bercakap jujur, saya agak takut dan berharap peminat akan kekal, dan mereka masih ada,” kata Advocaat mengulas kepada kekalahan itu.

“Saya berkata kami tidak boleh terus menerus seperti ini kerana City boleh mendapat angka yang berganda,” kata bekas pengurus kebangsaan Belanda itu.

Gawang Sunderland bocor seawal minit kesembilan perlawanan apabila penyerang, Sergio Aguero melengkapkan penalti seleaps Patrick van Aanholt mengasari Jesus Navas.

Advocaat mengarahkan pemainnya semasa pusingan ketiga Piala Liga menentang Manchester City di Stadium of Light Sunderland, kelmarin. – AFP
Advocaat mengarahkan pemainnya semasa pusingan ketiga Piala Liga menentang Manchester City di Stadium of Light Sunderland, kelmarin. – AFP

Ketika perlawanan memasuki minit ke-36, Sunderland sudah ketinggalan 4-0 hasil jaringan Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling selain jaringan sendiri Vito Mannone.

Gol sagu hati Black Cats dijaringkan pada babak kedua menerusi Ola Toivonen pada minit ke-83. Advocaat dalam pada itu mengakui keputusan perlawanan mampu menjadi lebih memalukan.

“Kami memberikan tiga gol malah mereka juga mampu menjadikannya empat, lima atau enam.

“Pada babak kedua, saya memberitahu pemain, kini kamu perlu bertarung bersama-sama dan bekerja bersama-sama. Jika tidak, kita akan memalukan diri sendiri,” katanya.