AEC akan jadikan syarikat ASEAN lebih kompetitif

AEC akan jadikan syarikat ASEAN lebih kompetitif

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) – Pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan menjadikan syarikat di rantau ini lebih berdaya saing dan mesra teknologi maklumat, kata Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Sofyan Djalil.

Sofyan berkata dengan kemunculan e-dagang serta penyertaan ‘darah muda’ dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), AEC akan menjadi platform yang lebih kompetitif.

“AEC akan menjadikan ekonomi lebih fleksibel dan komuniti perniagaan boleh mencari jalan untuk bersaing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10 di sini Jumaat.

Sofyan yang beranggapan bahawa PKS merupakan ‘pemain ekonomi utama’ di rantau ini, beliau ketika mengulas mengenai bantuan kepada PKS memberitahu, kerajaan di rantau ini perlu melanjutkan bantuan kewangan dan akses pasaran kepada kumpulan itu.

Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional Indonesia Dr Sofyan A Djalil membacakan teks ucapan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10 kelmarin. – Bernama
Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional Indonesia Dr Sofyan A Djalil membacakan teks ucapan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10 kelmarin. – Bernama

“Sebagai contoh, Indonesia telah menyediakan dana kredit mikro sebanyak 130 trilion rupiah (AS$10 bilion) bagi membantu PKS kami,” katanya.

Menurut Sofyan, Indonesia yang merupakan ekonomi terbesar di rantau ini, boleh mendapat manfaat dan pada masa yang sama menjadi pesaing dari segi destinasi pelaburan.

Mujurlah, beliau berkata, beberapa negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia kini melengkapi antara satu sama lain.

“Ini akan menjadikan integrasi ekonomi kami lebih baik,” katanya.

Sofyan yang mewakili Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, bagi memberikan ucaptama, berkata Indonesia dan Malaysia amat komited untuk merealisasikan idea AEC.

Bagaimanapun, Jusuf berkata, cabaran sebenar adalah untuk meningkatkan aktiviti pelaburan merentas sempadan dan perdagangan di kalangan negara-negara ASEAN yang belum lagi menunjukkan potensi sebenar.

“Melalui AEC, ASEAN akan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk lebih banyak aktiviti ekonomi di kalangan negara anggota,” katanya.

Mengenai kepentingan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di rantau ini, Jusuf berharap Malaysia, sebagai Pengerusi APEC 2020, akan meneruskan perbincangan tidak rasmi ke arah kerjasama yang lebih sinergi di antara serantau dan blok antarabangsa seperti APEC, G-20 dan Perikatan Pasifik.