AEC berhadapan halangan luar

AEC berhadapan halangan luar

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Cabaran besar menanti pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dalam bentuk gangguan daripada kejutan luar, kata Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak.

Beliau berkata negara anggota ASEAN terganggu oleh kejutan luar (menyebabkan) masa yang terhad untuk memberi tumpuan ke atas urusan AEC.

Mereka perlu memberi tumpuan kepada AEC memandangkan dalam jangka panjang, penyepaduan ekonomi ASEAN akan membantu mengukuhkan kestabilan dan keseluruhan ekonomi di seluruh rantau ini, katanya.

“Oleh itu, ia merupakan sesuatu yang mengaibkan jika kita tidak meneruskan laluan ini pada tahap yang betul,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Asia Tenggara 2015 anjuran The Economist di sini hari ini.

Nazir berkata selain kejutan luar, beberapa negara anggota termasuk Malaysia juga terganggu oleh rundingan Kerjasama Trans Pasifik (TPPA).

“Saya lebih suka MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mengisi sepanjang masa untuk memuktamadkan segala-gala yang berkaitan AEC daripada terganggu oleh TPPA,” katanya.

AEC yang dijadual dilaksanakan menjelang akhir tahun ini, merupakan pelan besar untuk mewujudkan entiti ekonomi tunggal membabitkan negara anggota ASEAN bagi memudahkan aliran barangan, perkhidmatan, pelaburan, modal dan tenaga mahir.

Ia juga bertujuan mempromosi pembangunan ekonomi yang saksama dan mengurangkan kemiskinan dan perbezaan sosioekonomi dalam kalangan negara anggota.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata AEC akan memberi manfaat kepada perusahaan multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana di rantau ini.

“Secara beransur-ansur, kita akan dapat sektor swasta untuk turut serta dan memainkan peranan penting dalam inisiatif ASEAN,” katanya.

Setakat ini ASEAN sudah merealisasikan lebih daripada 90 peratus pematuhan bagi penyepaduan ekonomi dan berada pada kedudukan yang baik untuk menjayakan pewujudan AEC menjelang akhir tahun. – Bernama