AEC rangsang pelaburan dari ASEAN

AEC rangsang pelaburan dari ASEAN

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) – Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dari negara ASEAN lain dijangka meningkat apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjadi kenyataan pada 31 Disember tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penghapusan halangan di kalangan 10 negara anggota kumpulan itu telah membawa kepada peningkatan pelaburan dan perdagangan intra-ASEAN, daripada AS$1.22 bilion pada 2000 kepada AS$24.4 bilion pada 2014.

“Ia merupakan 17.9 peratus daripada AS$136.2 bilion aliran masuk FDI ke rantau ini tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka AEC di sini, Isnin.

Mustapa berkata, perdagangan intra-ASEAN menyumbang 24 peratus daripada keseluruhan perdagangan ASEAN atau AS$608 bilion.

Sementara itu, pendapatan per kapita ASEAN kini berada pada AS$4,130 dengan perdagangan intra-ASEAN dijangka tumbuh kepada 30 peratus menjelang 2020.

Menurutnya, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia mahu mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kerana mereka adalah tulang belakang ekonomi negara.

“Kerajaan akan terus menawarkan sokongan kewangan kepada PKS. Kita juga telah mengenal pasti sektor pengangkutan dan kewangan yang memerlukan tumpuan yang lebih,” tambahnya.

Mustapa berkata, pelan tindakan AEC telah mencapai 91 peratus sasaran yang ditetapkan dan merancang mencatat 95 peratus menjelang November ini.

“Kita sedang bekerja keras. Keseluruhannya kita mempunyai 506 langkah yang dipantau dengan teliti. Objektif kita sangat sederhana kerana kita beroperasi melalui konsensus.

“Saya akan mempengerusikan Mesyuarat Ekonomi ASEAN pada 21 Ogos dan kita akan mengkaji dan berbincang mengenai apa yang boleh dilakukan mulai sekarang hingga November untuk mencapai kadar 95 peratus itu,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA