AEC rapat jurang pembangunan ASEAN

AEC rapat jurang pembangunan ASEAN

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) – Pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dijangka dapat menggalakkan pembangunan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di samping merapatkan jurang pembangunan dalam kalangan negara ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dengan terlaksananya AEC hujung tahun ini, ia juga berupaya menyumbang ke arah peningkatan pendapatan per kapita negara-negara anggota ASEAN.

“Mengenai perkembangan terkini AEC, kita berani nyatakan bahawa ASEAN telah catat banyak kejayaan antaranya kadar pertumbuhan antara yang tertinggi di dunia dengan 5.1 peratus secara purata dan pendapatan per kapita semua negara anggota ASEAN bertambah kepada US$4,000. “Semua lapisan masyarakat dalam pelbagai sektor ekonomi dijangka turut merasai faedah dan kebaikan yang ditawarkan oleh rantau ASEAN,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Yoo Wei How pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Yoo bertanyakan tentang perkembangan AEC dan manfaat hasil pembentukannya kepada rakyat.

Mustapa berkata ASEAN juga merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia yang menyumbang RM389 bilion atau 27 peratus daripada jumlah perdagangan global negara.

Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Reuters
Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Reuters

“Eksport Malaysia ke pasaran ASEAN pada 2014 meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM213.58 bilion, manakala negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina telah mula melabur dan melihat Malaysia sebagai pasaran penting bagi pelaburan mereka,” katanya. Selain itu katanya, syarikat industri kecil dan sederhana juga dijangka turut mendapat faedah daripada integrasi ASEAN itu.

“Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah satu komponen terpenting… kalau tak menyentuh atau memberi kesan kepada mereka, sesuatu dasar itu dianggap gagal dan tidak berjaya,” katanya.

Mustapa memberi tahu, ASEAN juga telah mengukuhkan hubungan dengan rakan-rakan dagang utama melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) serta kerjasama ekonomi dengan China, Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand.

ARTIKEL YANG SAMA