AEC tidak beri kesan pada IBS

AEC tidak beri kesan pada IBS

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) – Penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun depan tidak akan memberi kesan kepada Sistem Bangunan Berindustri (IBS) yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Ahli Ekonomi ASEAN HSBC Joseph Incalcaterra berkata AEC, yang menggalakkan aliran bebas pekerja di rantau ini, hanya tertumpu kepada pekerja mahir.

“Pekerja tidak mahir, termasuk kebanyakannya dalam tenaga kerja pembinaan, terletak di luar skop AEC,” katanya kepada Bernama.

Peserta industri tempatan baru-baru ini menyatakan kebimbangan bahawa AEC akan membuka aliran pekerja asing ke negara ini, yang akan memperlahankan pelaksanaan IBS dalam kalangan pemaju.

Sesetengah penganalisis berpendapat pemaju mungkin akan kembali kepada sistem klasik daripada IBS berikutan aliran bebas pekerja yang akan menyebabkan tenaga kerja lebih murah.

IBS telah digunakan sebagai sistem bangunan dalam projek pembinaan tempatan sejak 1960-an, walaupun pada skala kecil, berikutan sistem itu direka, antara lainnya untuk mengurangkan jumlah tenaga kerja terutamanya pekerja asing, dan meningkatkan kualiti pembinaan.

Bagi merancakkan industri itu, pejabat Pusat IBS telah ditubuhkan di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) untuk tempoh lima tahun, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September tahun ini.

CITP, yang diterajui oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kementerian Kerja Raya, bertujuan mentransformasikan industri itu kepada industri yang moden, amat produktif dan mampan menjelang 2020.

Program itu juga bertujuan membolehkan syarikat Malaysia bersaing di peringkat tempatan dan global dengan peserta antarabangsa selain menikmati pertumbuhan yang berterusan.

Dijangka menjadi pemacu utama bagi industri pembinaan pada tahun depan, CIDB telah diberi kelulusan untuk memastikan semua projek sektor swasta yang bernilai RM50 juta dan ke atas dikehendaki untuk mencapai skor IBS sebanyak 50 peratus.

Mana-mana pihak yang mengemukakan pelan bangunan untuk kelulusan akan menerima syarat daripada pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk mencapai skor IBS 50 peratus.

Pihak tersebut juga perlu mengemukakan akuan yang menyatakan projek itu akan mematuhi syarat mencapai skor IBS sebanyak 50 peratus, bersama dengan pelan bangunan.