AEM penting bagi penubuhan AEC

AEM penting bagi penubuhan AEC

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-47 yang bermula esok, berlangsung pada masa sangat genting dan penting.

Mesyuarat berlangsung bukan sekadar untuk memberikan sentuhan terakhir kepada penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), bahkan turut merangka visi komprehensif untuk AEC pasca 2015.

Mesyuarat tiga hari yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed itu antara lain akan membincangkan pelaksanaan langkah-langkah penubuhan AEC, terutama penyelesaian komitmen yang dipersetujui dalam Pelan Tindakan AEC 2015.

Mesyuarat juga dijangka membincangkan tugas memajukan Visi Ekonomi ASEAN Pasca 2015 dan pelan tindakan strategik untuk tempoh 10 tahun akan datang, selain pembangunan Pelan Induk PKS ASEAN 2016-2025.

Ketika perkumpulan serantau itu semakin menghampiri pembentukan AEC, ia secara beransur-ansur berjaya memansuhkan halangan dagangan seperti halangan bukan tarif (NTB), yang merupakan penghalang utama ke arah merealisasikan AEC.

Dalam mengukuhkan persekitaran yang memudahkan perniagaan, ASEAN telah menyediakan struktur perundangan ke atas persaingan dan perlindungan pengguna serta hak harta intelek.

Namun, AEC memerlukan banyak lagi penambahbaikan bagi memenuhi tuntutan dan cabaran dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus ASEAN perlu sentiasa berinovasi dan mengukuhkan dirinya dalam memastikan rantau ini terus kompetitif di peringkat global.

Setelah berkembang pesat bersama-sama selama hampir 50 tahun, negara anggota ASEAN telah menunjukkan pragmatisme dan keyakinan terhadap manfaat daripada ekonomi AEC.

ARTIKEL YANG SAMA