AEWON sumbang 50 baju T

AEWON sumbang 50 baju T

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Juara bertahan dan pendahulu Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016, Kota Junior mendapat suntikan semangat terutama buat para penyokongnya apabila menerima tajaan baju penyokong.

Sejumlah 50 pasang baju T penyokong yang mempamerkan perkataan “#KJDIDADAKU” dan logo Kota Junior di bahagian depan, dan perkataan “#SUPPORTERS” di sebelah belakang telah diserahkan kepada kelab futsal berkenaan oleh AEWON Garment & Embroidery Brunei.

Pengurus Kota Junior, Steven Yeo mengucapkan terima kasih di atas tajaan salah sebuah syarikat pembuat baju-T terbesar di Brunei Darussalam berkenaan dan juga kepada para penyokong setia kelab berkenaan yang sentiasa hadir menyaksikan perlawanan mereka dari musim lepas hingga lima perlawanan awal musim ini.

Menurutnya tajaan itu sebagai hadiah kepada para penyokong Kota Junior dan berharap mereka akan terus memberikan sokongan padu kepada Kota Junior dalam laluannya mempertahankan kejuaraan musim ini.

Steven Yeo memberi jaminan bahawa pasukannya akan terus bermain untuk menghiburkan para penonton yang hadir dengan penghasilan gol demi gol yang menurutnya boleh menggamatkan dewan.

Gambar fail KDYMM Baginda Sultan. – Gambar Azrol Azmi
Gambar fail KDYMM Baginda Sultan. – Gambar Azrol Azmi

Lawan Kota Junior seterusnya adalah pasukan di tempat keempat musim lalu, Arbisyam FC pada Jumaat, 22 Julai nanti di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), bermula pukul 7 malam.

Setakat ini Kota Junior sudah mengumpul 15 mata maksimum dengan catatan hebat 46 gol dan hanya 7 bolos bagi perbezaan gol besar, +39, sangat jauh berbanding pesaing terdekatnya, Shah United FC dan MS ABDB, yang masing-masing hanya mempunyai +10 perbezaan gol.

Naib juara musim lalu, Shah United FC juga bermula cemerlang musim ini dengan catatan empat kemenangan dari empat perlawanan untuk mengumpul 12 mata di tempat kedua, dengan ledakan 19 gol dan 9 bolos.

Sementara MS ABDB yang sudah bermain lima kali turut mengumpul 12 mata di tempat ketiga, dengan satu-satunya kekalahan dialaminya, 0-1 kepada Shah United FC. Ia turut berjaya meledakkan 19 gol dan dibolosi sembilan kali.

Arbisyam FC, PBDB FT, Rizfiz FT masing-masing mengumpul sembilan mata di tempat keempat hingga keenam, manakala Street United FT dan Pega Star FC masing-masing dengan enam mata di tempat ketujuh dan kelapan.

Tiga pasukan yang baru tampil iaitu NFT, First Five FT dan BIO FT masih gagal menunjukkan impak mencabar lapan pasukan yang bermain di musim keduanya dalam liga bertaraf kebangsaan berkenaan tahun ini apabila sekadar menghuni tiga tangga terbawah liga setakat ini.

ARTIKEL YANG SAMA