AFC B-14 labuh tirai

AFC B-14 labuh tirai

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Sejumlah 101 gol dijaringkan daripada keseluruhan 20 perlawanan yang berlangsung di sepanjang empat hari ‘Hari Perlawanan’ Festival Bolasepak Bawah 14 Tahun (B-14) Serantau AFC 2016, Bandar Seri Begawan.

Festival lima hari yang telah bermula pada 26 Julai itu berakhir malam tadi dengan majlis penutup di Kompleks Sukan Berakas (KSB) yang menyaksikan Laos diumumkan selaku penerima Anugerah Permainan Bersih (Fair Play Award) AFC selepas tidak dilayangkan sebarang kad amaran dan paling sedikit melakukan kesalahan (foul).

Menyempurnakan penyampaian anugerah berkenaan, sijil dan pingat kepada pemain, serta sijil dan pingat kepada pengadil ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pengurus Festival AFC, Dr. Shamil Kamil Mohamed.

Majlis penutup itu bermula dengan perlawanan ke-20 dan terakhir festival antara pasukan tuan rumah, Brunei Darussalam dengan Thailand, yang berkesudahan Thailand menang 4-0.

Dato Paduka Dr Awang Haji Affendy ketika menyampaikan Anugerah Fair Play kepada Laos.
Dato Paduka Dr Awang Haji Affendy ketika menyampaikan Anugerah Fair Play kepada Laos.

Selepas wisel penamat perlawanan ditiup pengadil, majlis penutup itu diteruskan dengan ucapan daripada Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Haji Badarudin, disusuli ucapan oleh Dr. Shamil.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil, pingat dan anugerah yang berkenaan dijalankan, diikuti dengan pengisytiharan penutupan festival oleh Dato Paduka Dr Haji Affendy.

Festival tahun ini menyaksikan sejumlah 10 buah negara di rantau Asia Tenggara menyertainya, yang telah dibahagikan kepada dua buah kumpulan, A dan B.

Kumpulan A mengandungi Brunei Darussalam, Myanmar, Vietnam, Thailand dan Singapura, sementara Timor Leste, Malaysia, Kemboja, Filipina dan Laos mengisi Kumpulan B.

Hadir sama ke majlis penutup festival berkenaan ialah ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof dan Penolong Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

ARTIKEL YANG SAMA