AFC mahu masa depan terbaik untuk bola sepak dunia

AFC mahu masa depan terbaik untuk bola sepak dunia

KUALA LUMPUR, 4 Jun (AFP) – Kofederasi Bola Sepak Asia (AFC) berikrar untuk membantu ‘mencari jalan yang paling baik’ untuk bola sepak dunia selepas peletakan jawatan mengejutkan Presiden FIFA, Sepp Blatter.

Dalam satu kenyataan ringkas, badan induk bola sepak Asia itu yang dianggap antara sekutu kuat Blatter, menyatakan AFC memantau rapat perkembangan itu.

“Kami akan berbincang dengan ahli-ahli persatuan dan badan gabungan lain dalam usaha untuk mencari jalan terbaik melangkah ke depan untuk FIFA dan bola sepak dunia,” menurut kenyataan itu.

Blatter meletakkan jawatannya awal pagi tadi selaku Presiden FIFA ketika tekanan terhadap siasatan rasuah dari pihak berkuasa Switzerland dan Amerika Syarikat kian meningkat.

Selain rasuah, skandal lain yang dikatakan sedang diperhatikan ialah penganugerahan tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022 kepada Russia dan Qatar.

Keputusan Blatter untuk meletakkan jawatan membuka kembali pemilihan bagi menggantikannya. Putera Jordan, Ali bin al Hussein yang menjadi pencabar tunggal Blatter pada pemilihan Presiden, Jumaat lepas sudah menunjukkan isyarat dia akan kembali bertanding.

Asia menjadi sekutu kuat kepada Blatter, terutama Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim al Khalifa yang juga keluarga diraja Bahrain.