AFC sokong India hos Piala Dunia Bawah 17 Tahun

AFC sokong India hos Piala Dunia Bawah 17 Tahun

NEW DELHI, 29 Nov (Bernama) – Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menyokong India untuk menjadi hos kejohanan Piala Dunia Bawah 17 Tahun pada September 2017 bagi mempopularkan sukan itu di benua kecil tersebut.

Dalam acara pelancaran persiapan kejohanan di sini yang turut dihadiri bintang Bollywood seperti Abhisek Bachan dan John Abraham, Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berkata India mempunyai potensi untuk menjadi antara negara bola sepak yang hebat di masa depan.

“Kejohanan ini adalah permulaan buat negara ini dan saya yakin Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) boleh membuat persembahan baik dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata sebagai persediaan, AIFF akan menjadi hos kepada kejohanan AFC Bawah 16 Tahun pada tahun depan.

Pasukan senior India kini menduduki ranking ke-172 dunia.

Enam bandar raya telah dikenal pasti bagi menjadi venue kejohanan bawah 17 tahun iaitu New Delhi, Goa, Kolkata, Cochin, Guwahati dan Mumbai.

Presiden AIFF Praful Patel berkata India merupakan antara pasukan utama di Asia sekitar 50-an dan 60-an dan pernah layak ke Piala Dunia 1950 di Brazil.

“Namun kami enggan bermain dalam kejohanan itu bila tidak dibenarkan bermain dengan berkaki ayam,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan peluang baik untuk menjadi hos kejohanan Bawah 17 Tahun Piala Dunia bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak India.

Patel turut berharap India yang mempunyai penduduk 1.25 bilion orang dapat menjadi hos kejohanan piala dunia bawah 20 tahun.