AFC sokong Piala Dunia Qatar 2022

AFC sokong Piala Dunia Qatar 2022

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Reuters) – Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) memberikan sokongan kuat terhadap pilihan Qatar untuk mengadakan Piala Dunia 2022 semalam sementara terus menghadapi gesaan antarabangsa yang mempersoalkan hak negara Teluk untuk menganjur kejohanan tersebut.

Dalam satu kenyataan badan bola sepak Asia itu berkata: “AFC menyatakan sokongannya terhadap Piala Dunia FIFA 2022 yang akan diadakan di Qatar.

“Bola sepak adalah permainan dunia yang tidak harus menetapkan sempadan geografi untuk dirinya.

“Negara Teluk adalah rantau bola sepak sebenar, dengan beberapa pencinta bola sepak paling kuat di dunia dan Qatar adalah tidak terkecuali.”

Permintaan hak anjuran Qatar dikaji semula telah meningkat di tengah dakwaan baru mengatakan kejohanan telah pun terjamin disebabkan pengundian korup oleh anggota jawatankuasa eksekutif FIFA.

Siasatan rasuah oleh FBI di FIFA termasuk penelitian tentang cara-cara badan bola sepak memberikan hak penganjuran Piala Dunia kepada Qatar dan Rusia, tuan rumah kejohanan pada tahun 2018.

Qatar dan Rusia telah menafikan melakukan kesalahan dalam pengendalian bidaan mereka, yang tidak tertakluk kepada dakwaan yang diumumkan oleh pendakwa Amerika Syarikat (AS) seminggu lalu ke atas pegawai FIFA yang mengejutkan bola sepak dunia.

AFC memberikan sokongan padunya kepada anggota persekutuan yang diberikan kejohanan oleh FIFA pada Disember 2010, menangkis tentangan dari Korea Selatan, Jepun, Australia dan AS. Kenyataan AFC menambah: “Qatar 2022 akan menjadi kali pertama di mana rantau Asia Barat akan berpeluang menunjukkan semangat ini kepada dunia, yang akan menjadi kejohanan Piala Dunia FIFA kedua yang diadakan di Asia.

“AFC dan seluruh komuniti bola sepak Asia mempunyai hubungan baik dengan Qatar dan kami semua tidak sabar-sabar untuk menganjur Piala Dunia, dan mengalu-alukan seluruh dunia.”

ARTIKEL YANG SAMA