Affin, ICD kenal pasti kerjasama strategik di Asia

Affin, ICD kenal pasti kerjasama strategik di Asia

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Affin Bank Group memeterai memorandum persefahaman dengan Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD) untuk bekerjasama dan mengenal pasti bidang kerjasama strategik di rantau Asia.

ICD ialah cabang sektor swasta Islamic Development Bank (IDB) Group di Arab Saudi.

Menerusi kerjasama strategik ini, kedua-dua pihak akan menawarkan sokongan teknikal dan nasihat terutamanya pembangunan produk dan konsep Syariah, kata Affin Bank dalam satu kenyataan.

Di bawah perjanjian itu, kerjasama juga akan dicapai menerusi pertukaran maklumat dan pengenalan peluang perniagaan di negara-negara anggota ICD.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata kerjasama strategik itu akan melonjakkan Affin Bank Group dan ICD ke tahap baharu yang akan merevolusikan landskap kewangan Islam.

“Secara peribadi, saya tidak sabar-sabar untuk melihat kedua-dua pihak bekerjasama dan memulakan perjalanan menarik ini bersama-sama,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA