Afghan-Pakistan cari penyelesaian

Afghan-Pakistan cari penyelesaian

KABUL, 20 Ogos – Afghanistan dan Pakistan telah memanggil duta-duta antara satu sama lain untuk menjelaskan tentang pertelagahan antara pasukan keselamatan kedua-dua negara yang mengorbankan sehingga 11 orang pengawal sempadan, dengan ketegangan mencemari sambutan Hari Kemerdekaan di Kabul.

Kerjasama antara kedua-dua negara berjiran itu, kedua-duanya memerangi pemberontakan militan dilihat sebagai kunci kepada keamanan di Afghanistan, memandangkan Pakistan secara meluas mempunyai pengaruh besar ke atas Taliban dan militan bersekutu.

Dalam pertemuan dengan Duta Syed Abrar Hussain, kementerian luar Afghanistan melahirkan bantahan serius terhadap pertempuran sengit menggunakan artileri di wilayah sempadan, Kunar, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan. Lapan anggota polis terbunuh, menurutnya.

Utusan Afghanistan ke Islamabad dipanggil ke kementerian luar semalam tentang apa yang disifatkannya dakwaan Kabul dan kempen media untuk memfitnah Pakistan, dan juga pertempuran sempadan yang menurutnya telah mengorbankan tiga orang pengawal dalam tempoh dua hari lalu.

Presiden Afghanistan Ashraf Ghani dalam tahun pertamanya sebagai presiden berusaha meningkatkan hubungan dengan langkah-langkah seperti perkongsian perisikan, tetapi selepas pengeboman di Kabul yang membunuh berbelas-belas orang bulan ini beliau dengan marah menyalahkan Pakistan kerana ‘mengeksport perang’.

“Usaha memerangi keganasan mesti menjadi keutamaan bagi negara-negara di rantau itu, Ghani berkata dalam ucapan untuk meraikan hari Kemerdekaan, tanpa menyebutkan nama Pakistan.

“Tidak sesiapa pun boleh memaksa kami menerima permintaan mereka dengan ancaman,” katanya.

Kemarahan itu juga dirasakan di jalan-jalan raya di Kabul, tempat para penduduk di bandar itu meraikan percutian diselubungi bendera-bendera Afghan.

“Saya datang untuk meraikan hari Kemerdekaan kami, kami meraikan menentang Pakistan,” kata penduduk bandar itu, Mohammad Zamir, ketika pemain dram dan penari membuat persembahan berdekatan puing-puing rumah dan kedai yang musnah akibat pengeboman lori besar-besaran pada 7 Ogos.

Pakistan menyelar serangan baru-baru ini dan menyalahkan ‘pengacau dan pengkritik’ kerana cuba mewujudkan kecurigaan antara kedua-dua negara, yang berbahagi dengan sempadan yang ditakrifkan dalam perjanjian 1919 yang diperakui oleh kemerdekaan Afghan dari empayar Britain meskipun negara itu tidak pernah sepenuhnya dijajah. Perjanjian itu diraikan pada 19 Ogos. – Reuters