Afghanistan dapat jaminan bantuan

Afghanistan dapat jaminan bantuan

BRUSSELS, 5 Okt – Kuasa-kuasa dunia memberi jaminan berbilion dolar bagi Afghanistan yang dilanda perang sehingga 2020 pada rundingan di Brussels hari ini di tengah gesaan baru bagi Taliban untuk mencapai perdamaian 15 tahun selepas mereka disingkirkan daripada kuasa.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani bertemu para pegawai dari lebih 70 buah negara dan kumpulan antarabangsa, termasuk Setiausaha Negara AS, John Kerry dan ketua PBB, Ban Ki-moon, semasa persidangan itu.

Ketua dasar luar negeri Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini mengumumkan bahawa 28 negara blok akan menjamin 1.2 bilion euro (AS$1.5 bilion) setahun dan berkata “Saya menjangkakan tahap penglibatan serupa daripada rakan-rakan kami. Afghanistan tidak akan kekurangan derma.”

(Kiri ke Kanan) Ketua Eksekutif Afghanistan, Abdullah Abdullah; Presiden Afghanistan, Mohammad Ashraf Ghani; Presiden EU, Donald Tusk; Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semasa mesyuarat ke atas Afghanistan di ibu pejabat EU di Brussels pada 5 Oktober. – AFP
(Kiri ke Kanan) Ketua Eksekutif Afghanistan, Abdullah Abdullah; Presiden Afghanistan, Mohammad Ashraf Ghani; Presiden EU, Donald Tusk; Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semasa mesyuarat ke atas Afghanistan di ibu pejabat EU di Brussels pada 5 Oktober. – AFP

Mogherini berkata makan malam penting bagi tokoh serantau penting termasuk China, India dan Pakistan pada malam Selasa telah ‘menemui asas sama’ bagi proses perdamaian Afghanistan.

“EU akan cuba untuk memudahkan perkara ini sebaik mungkin dalam bebe-rapa bulan akan datang,” katanya.

Kerry menggesa Taliban untuk mengikuti contoh ketua perang terkenal Afghan, Gulbuddin Hekmatyar dan membuat perdamaian ‘terhormat’ dengan kerajaan Kabul untuk menamatkan keganasan bertahun lamanya. – AFP