Afghanistan juarai Liga Perdana ACC B-19

Afghanistan juarai Liga Perdana ACC B-19

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) – Afghanistan mengekalkan kejuaraan Liga Perdana ACC Bawah 19 Tahun, selepas menewaskan Malaysia dengan tujuh wickets di Akademi Kriket Kinrara, dekat sini hari ini.

Berikutan kekalahan itu, Malaysia menamatkan aksi di kejohanan tersebut di tempat ketiga manakala Nepal muncul naib juara selepas mengalahkan Arab Saudi dengan sembilan wickets dalam satu lagi perlawanan di Kelab Aman.

Afghanistan menang dengan tujuh wickets selepas melakukan 109 larian dalam 21.3 overs.

Walaupun tewas, ketua pasukan Malaysia, Virandeep Singh dipilih sebagai Pemain Paling Berbakat di kejohanan itu selepas melakukan 161 larian di kejohanan tujuh hari melibatkan enam negara itu.

Pengurus pasukan negara, T. Senathiraj berkata beliau berpuas hati dengan persembahan keseluruhan yang ditunjukkan anak buahnya termasuk dua daripada mereka yang turut mewakili skuad senior kebangsaan.

Menurutnya, skuad negara turut memperbaiki kedudukan mereka daripada tempat keempat tahun lepas ke tangga ketiga tahun ini.

“Ia adalah peningkatan yang baik. Pavendeep Singh yang juga anggota skuad senior negara, membuktikan kemampuannya dengan mendapatkan tiga wickets dalam perlawanan hari ini. Begitu juga dengan Virandeep.

“Skuad B-19 negara membuktikan mereka mempunyai kualiti yang baik untuk bergerak ke hadapan. Langkah seterusnya untuk mereka adalah untuk meneruskan usaha keras kerana inilah pemain yang bakal mengisi tempat dalam skuad senior nanti,” katanya.

Sementara itu, Senathiraj berkata selain Virandeep dan Pavendeep, seorang lagi pemain muda, Syed Aziz Syed Mubarak turut dipilih untuk memperkuatkan pasukan senior negara yang akan beraksi dalam kejohanan Trofi Carl Schubert 2015, yang bermula esok.

Trofi Carl Schubert adalah acara tahunan antara Malaysia dan Singapura yang diadakan secara bergilir-gilir di kedua-dua negara.