‘African Scam’ berjaya ditumpas

‘African Scam’ berjaya ditumpas

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) – Penipuan licik ‘Awang Hitam’ memperdaya wanita tempatan menerusi ‘Cinta Alam Maya’ terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menumpaskan sindiket membabitkan kerugian bernilai RM25 juta dengan penahanan 29 warga Afrika dalam serbuan berasingan di seluruh negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Wira Hamza Taib berkata turut ditahan ialah empat orang wanita warga tempatan, seorang wanita warga Indonesia dan seorang warga Thailand yang dipercayai bersubahat dalam sindiket “African Scam’ itu yang mula dikesan awal tahun ini.

“Suspek menggunakan akaun bank milik wanita tempatan bagi menipu mangsa… malah ketika serbuan polis mendapati terdapat wanita tempatan tinggal serumah dengan suspek dan melahirkan anak luar nikah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dengan penahanan semua suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an itu, polis percaya dapat menyelesaikan sebanyak 29 kes daripada 761 kes yang dilaporkan dan menyelamatkan wang tunai sebanyak RM150,000.

Katanya polis turut merampas 50 keping kad ATM bank tempatan, 70 buah telefon bimbit, 16 buah komputer riba dan pelbagai dokumen yang digunakan dalam penipuan itu.

“Modus operandi yang diguna adalah suspek menyamar sebagai lelaki Eropah dan meyakini mangsa bahawa mereka bersedia untuk berkahwin.

“Suspek kemudiannya berpura-pura bahawa mereka akan menghantar hadiah berupa barang berharga seperti jongkong emas, wang dan sebagainya menerusi perkhidmatan kurier dan seterusnya meminta mangsa agar membayar pelbagai jenis cukai sehingga mangsa tertipu,” katanya.

Hamzah berkata kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita yang kesunyian, janda dan golongan profesional.

Katanya kerana terpedaya dengan janji manis suspek, ada mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka telah ditipu walaupun diberitahu oleh pihak polis.

“Saya ingin menasihati rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dalam menjalani hubungan menerusi internet agar tidak terpedaya dengan ‘Cinta Alam Maya’ yang mengeksploitasi mangsa dengan menguna gambar-gambar lelaki kacak dan putih,” katanya.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan maksimum 10 tahun atau dengan sebatan atau denda atau ketiga-tiganya.

Katanya kes itu juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan peraturan-peraturan 1663 dan Akta Pasport (Akta 150).

ARTIKEL YANG SAMA