Afrika boleh membantu selamatkan FIFA – Putera Ali

Afrika boleh membantu selamatkan FIFA – Putera Ali

DAKAR, 10 Dis – Calon Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Putera Ali al Hussein menegaskan bahawa dirinya berupaya menyelamatkan badan dunia itu yang dihimpit gejala rasuah dan mengakui Afrika akan memainkan peranan penting pada masa depan.

Putera Ali adalah salah seorang pencabar utama untuk menggantikan Sepp Blatter sebagai Presiden FIFA dalam pemilihan badan bola sepak itu pada Februari depan dengan menjanjikan pembaharuan besar-besaran pada ketika FIFA teruk terpalit dengan skandal rasuah dan penahanan, baru-baru ini.

“Bola sepak adalah sukan paling popular di dunia. Reputasi organisasi pula ketika ini adalah sebaliknya. Kita boleh mengubahnya dan pemilihan (26 Februari) adalah penting.

“Kita tidak boleh memiliki sebuah organisasi rahsia. Kita perlu bersikap terbuka dalam tindakan dan perbuatan. Masyarakat perlu menaruh kepercayaan terhadap kita.

“Kebimbangan utama saya seandainya kita tidak mendapat hak, banyak orang di luar sana yang menggesa untuk mengubah FIFA, ternyata inginkan sebuah organisasi yang berbeza.

“Tapi saya percaya ia adalah sebaliknya, kita mesti menyelamatkannya,” katanya. – AFP