Afrika S tetamu MIHAS 2016

Afrika S tetamu MIHAS 2016

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menampilkan Afrika Selatan sebagai negara tetamu pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2016 yang akan datang.

Matrade dalam kenyataan hari ini berkata negara Afrika merupakan dalam kalangan 15 negara majoriti bukan Islam termasuk Brazil, Bulgaria, Vietnam, Jepun dan Amerika Syarikat yang akan mengambil bahagian dalam edisi ke-13 MIHAS.

“Kami gembira mempunyai Afrika Selatan sebagai negara tetamu pada tahun ini dan yakin bahawa penyertaan mereka akan meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan untuk Malaysia dan Afrika Selatan dalam sektor halal,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud.

Sambil menyatakan MIHAS sentiasa berusaha ke arah kepelbagaian dan membawa lebih banyak pilihan kepada pasaran, katanya potensi industri halal telah diiktiraf oleh banyak negara bukan Islam dan mereka kini berusaha untuk mendapatkan daya tarikan dalam pasaran halal global.

MIHAS 2016 merupakan acara tahunan di bawah Minggu Halal Dunia (WHW) 2016 dan dijadualkan diadakan dari 30 Mac hingga 2 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Misi ke Malaysia Afrika Selatan Vickesh P Maharaj dalam kenyataan bersama berkata Afrika Selatan muncul sebagai antara negara utama dalam pensijilan halal dan ia mempunyai peluang untuk bertukar pengalaman sebagai negara tetamu di MIHAS.

Negara itu mempunyai pasaran halal yang pesat dipacu oleh lebih 500 syarikat yang diiktiraf halal.

Sijil halal dikeluarkan oleh mana-mana satu daripada tiga pihak berkuasa halal utama di Afrika Selatan, iaitu South African National Halal Authority, National Independent Halal Trust dan Islamic Council of South Africa, menurut kenyataan itu.

MIHAS menawarkan pameran perdagangan dengan menampilkan syarikat tempatan dan antarabangsa yang membekalkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti perkhidmatan dan produk bukan makanan, pembungkusan makanan, pelaburan Islam, perbankan dan takaful.

Terdapat 640 gerai pameran dan lebih 25,000 pengunjung dijangka menghadiri acara itu pada tahun ini.