Afrika Selatan hos Sukan Komanwel 2022

Afrika Selatan hos Sukan Komanwel 2022

AUCKLAND, 2 Sept (AFP) – Bandaraya Durban, Afrika Selatan yang secara rasmi telah diumumkan sebagai penganjur Sukan Komanwel 2022, menjadi bandar pertama di benua Afrika menganjurkan temasya berprestij itu.

Bandar raya ketiga terbesar di Afrika Selatan itu muncul sebagai satu-satunya calon untuk menganjurkan temasya sukan itu selepas Edmonton, Kanada menarik diri Februari lalu.

Keputusan undian itu mencetuskan kegembiraan di Durban, di mana gambar-gambar televisyen menunjukkan orang ramai mengibarkan bendera Afrika Selatan.

“Saya teruja, bandar ini juga teruja!” pengerusi bidaan Durban 2022 Mark Alexander berkata dari Auckland, di mana pengumuman rasmi dibuat pada Perhimpunan Agung 71 negara Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).

Para pelajar sekolah di Durban bergembira selepas bandar raya itu diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2022 semalam. – AFP
Para pelajar sekolah di Durban bergembira selepas bandar raya itu diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2022 semalam. – AFP

Presiden CGF baru dipilih Louise Martin, yang mengetuai sebuah suruhanjaya yang menyokong tawaran Durban selepas pemeriksaan secara terperinci, melahirkan rasa gembira sukan kedua terbesar global selepas Olimpik itu akhirnya diadakan di Afrika selepas 85 tahun.

“Keputusan yang penuh bersejarah untuk kita semua dan disokong oleh suruhanjaya saya,” katanya.

Edmonton menarik diri disebabkan bimbang dengan kos penganjuran. Durban yang menggunakan slogan ‘Bersedia untuk Memberi Inspirasi’ berkata, 90 peratus kemudahan untuk menganjurkan Sukan Komanwel sudah tersedia. Malah penganjur juga menggambarkan acara itu sebagai ‘ejen perubahan’ yang dijangka akan meningkatkan aktiviti pelancongan dan peluang kerja di bandar raya yang memiliki populasi tiga juta penduduk itu.