Afrika Selatan sogok FIFA

Afrika Selatan sogok FIFA

JOHANNESBURG, 7 Jun (AFP) – FIFA terus dihimpit kontroversi apabila media, semalam melaporkan pemimpin tertinggi kerajaan Afrika Selatan meluluskan pembayaran AS$10 juta sebagai sogokan bagi penganjuran Piala Dunia 2010.

Penyiasat dari Amerika Syarikat (AS) menganggap pembayaran terbabit sebagai rasuah. Bekas Presiden Afrika Selatan, Thabo Mbeki dan Menteri Luar, Nkosazana Dlamini-Zuma meluluskan pembayaran terbabit, menurut laporan dengan kerajaan menegaskan ia adalah untuk projek pembangunan yang sah di Caribbean.

Pendedahan terbaharu itu hadir ketika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilanda skandal rasuah membabitkan beberapa pegawai tertinggi badan induk itu sehingga memaksa Presidennya, Sepp Blatter, meletakkan jawatan.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) mendedahkan maklumat terperinci mengenai pinjaman bernilai 5 juta euro yang diterima daripada FIFA dalam usaha mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ia didedahkan dua hari menjelang pertembungan persahabatan antarabangsa bertemu England di laman sendiri.

Pengerusi Persatuan Bola Sepak England (FA), Greg Dyke menjangkakan skandal yang melanda FIFA akan membawa kepada penangkapan bos badan induk itu, Blatter, 79.

Blatter mengesahkan akan melepaskan jawatannya pada Rabu dengan pemilihan baharu dijangka berlaku pada Disember tahun ini hingga Mac 2016.

Pembayaran oleh Afrika Selatan pada 2008 itu dibuat menerusi FIFA dan melalui akaun yang dikawal oleh bekas Naib Presiden FIFA, Jack Warner yang ketika ini diburu AS kerana kesalahan rasuah.

Penyiasat AS percaya ia adalah rasuah bagi mendapatkan tiga undi Eksekutif FIFA dalam usaha mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia.

Begitupun, pihak berkuasa Afrika Selatan berkata jumlah itu adalah sumbangan ikhlas bagi menyokong pembangunan bola sepak di antara Afrika dan Caribbean.

ARTIKEL YANG SAMA