Afrika Selatan tak boleh kalah

Afrika Selatan tak boleh kalah

LONDON, 30 Okt (Reuters) – Aksi penentuan tempat ketiga Ragbi Piala Dunia sering dianggap sebagai tidak penting namun Afrika Selatan dan Argentina mempunyai alasan untuk cuba menamatkan tahun dengan nota kemenangan.

Pumas bertemu Springboks di Stadium Olimpik di timur London awal pagi esok dengan sasaran mengalahkan lawan buat kali kedua dalam tempoh kurang tiga bulan dan kali pertama pada Piala Dunia selepas kalah 13-37 pada separuh akhir 2007.

Argentina menewaskan Afrika Selatan buat kali pertama pada Kejuaraan Ragbi di Durban, menang 37-25 Ogos lalu dan mereka menjangkakan saingan sengit daripada Springboks.

Springboks membalas dendam kekalahan itu dengan mengalahkan Pumas 26-12 pada perlawanan pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia di Buenos Aires seminggu kemudian dan kini mahu bangkit daripada kekalahan 18-20 pada separuh akhir kepada New Zealand di Twickenham hujung minggu lalu.

Jurulatih Afrika Selatan yang tertekan Heyneke Meyer sedar beliau tidak boleh kalah sekali lagi pada tahun yang mana beliau sudah kalah lima perlawanan test termasuk perlawanan pembukaan Piala Dunia di tangan Jepun.

Terjejas moral berikutan kekalahan separuh akhir kepada All Blacks, beliau memilih pasukan terkuatnya dengan scrumhalf Fourie du Preez terpaksa diketepikan kerana cedera dan digantikan Ruan Pienaar.

Lock Victor Matfield akan beraksi perlawanan ke-127 dan terakhir buat Springboks sebagai kapten dengan pemain muda berbakat Lood de Jager digugurkan ke bangku simpanan.

“Perlawanan ini kritikal buat kami dan kami perlu menamatkan musim dengan nota kemenangan buat diri sendiri dan peminat,” ujar Meyer.

ARTIKEL YANG SAMA