Agenda alam sekitar harus melalui transformasi

Agenda alam sekitar harus melalui transformasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Dunia pada masa ini berada pada detik yang penting di mana komitmen politik mengenai perubahan iklim dan pembangunan mapan harus melalui transformasi berbanding hanya menjadi komitmen kepada tindakan dunia nyata.

Oleh itu, negara-negara rantau Asia Pasifik harus meneroka bagaimana kepelbagaian ekonomi dalam menyokong aspirasi pembangunan serta agenda alam sekitar bagi rantau berkenaan.

Dalam hubungan itu, Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik menjadi platform yang amat penting untuk mengetengahkan aspirasi negara-negara Asia Pasifik dalam perkara itu dengan mengutamakan integrasi iaitu kaedah yang terbaik bagi mengurus landskap serta hutan negara-negara berkenaan supaya ia dapat diintegrasikan ke dalam aspirasi ekonomi, alam sekitar dan sosial negara-negara berkenaan.

Di samping itu, ia juga diharap dapat memberikan penekanan pada membawa integrasi antara sektor kerajaan, swasta dan masyarakat setempat untuk memberikan impak sebenar kepada isu-isu berhubung dengan pembangunan dan pengurusan hutan mapan yang boleh membawa manfaat kepada semua orang.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menyampaikan cenderahati kepada Dr. Holmgren selepas penyampaian ucaptama pada sidang kemuncak itu.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menyampaikan cenderahati kepada Dr. Holmgren selepas penyampaian ucaptama pada sidang kemuncak itu.

Penekanan integrasi di semua peringkat itu disuarakan oleh Ketua Pengarah, Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR), Dr. Peter Holmgren dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.

Beliau berkata bahawa jika semua pihak bersatu padu dan bekerjasama dengan menggabungkan tiga perkara utama iaitu politik, keuntungan dan penyertaan, ia akan membawa kepada pelaksanaan perubahan yang bermakna serta memberikan manfaat kepada semua pihak .

Di samping itu, beliau menyatakan harapan untuk mengintegrasikan isu perhutanan dan hutan ke dalam arus utama pembangunan mapan. Sering kali, ulasnya, orang meletakkan isu hutan dan perhutanan sebagai isu alam sekitar tetapi ia adalah amat penting untuk mengenal pasti peranan penting yang dimainkan oleh hutan dan perhutanan dari segi semua aspek pembangunan mapan.

Beliau berkata lagi bahawa perhutanan boleh memberikan sumbangan kepada semua aspek pembangunan mapan termasuk menangani kemiskinan, sekuriti makanan, kesihatan, tenaga, air, perubahan iklim, hak asasi, pembangunan ekonomi, kehidupan di darat dan juga di laut.

Dr. Holmgren berkata, kita perlu mengenal pasti potensi sebenarnya hutan dan perhutanan itu kepada pembangunan mapan dan bagi hasrat itu, kita harus bersedia melaksanakan peranan masing-masing merentas batas sempadan tradisional institusi serta untuk terus bekerjasama dengan semua pihak yang berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, tenaga, kewangan, infrastruktur, perdagangan, pelancongan dan pendidikan.

Beliau juga menekankan mesej utamanya iaitu menyatupadukan semua pihak untuk mencapai satu matlamat yang utama dan mencari penyelesaian yang terbaik merupakan pelaburan yang terbaik yang boleh dibuat bagi generasi akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA