Agensi bergelut bantu mangsa

Agensi bergelut bantu mangsa

ISLAMABAD, 28 Okt (AFP) – Agensi bantuan sedang bergelut hari ini untuk sampai kepada mangsa gempa bumi yang kesejukan dan kelaparan setelah gempa tersebut membunuh lebih 360 orang di Pakistan dan Afghanistan, dengan seluruh komuniti masih terputus hubungan di rantau pergunungan.

Mangsa terdesak merayu bantuan selepas gempa bumi berukuran 7.5 magnitud pada Isnin melanda rantau itu, memusnahkan beribu-ribu buah rumah, mencetuskan runtuhan tanah dan kejadian rempuhan, dan memutuskan talian komunikasi.

Anggota menyelamat dan tentera Pakistan kini berlumba dengan masa untuk sampai kepada mangsa yang terkandas di rantau terpencil sebelum cuaca sejuk meragut lebih banyak nyawa.

“Tidak ada sesiapa yang datang untuk membantu kami. Kami duduk di kawasan terbuka. Hujan turun semalam dan tidak ada sesiapa yang datang membantu kami,” kata Jamil Khan, mangsa gempa bumi berusia 24 tahun di Shangla, salah satu daerah yang paling teruk terjejas di barat laut wilayah Pakistan Khyber Pakhtunkhwa.

Seorang pegawai tentera Pakistan mendukung seorang anak damit mangsa gempa bumi yang dipindahkan dari Chitral menggunakan helikopter tentera di pangkalan Peshawar pada 27 Oktober. – AFP
Seorang pegawai tentera Pakistan mendukung seorang anak damit mangsa gempa bumi yang dipindahkan dari Chitral menggunakan helikopter tentera di pangkalan Peshawar pada 27 Oktober. – AFP

Pekerja bantuan juga bimbang keadaan keselamatan yang tidak stabil di kawasan yang dilanda gempa bumi di Afghanistan, kebanyakannya dikawal oleh Taliban, mungkin menghambat usaha bantuan meskipun pemberontak berjanji mereka akan membantu untuk menghantar bantuan.

Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif semalam menjanjikan pampasan untuk mereka di mana rumah mereka telah dimusnahkan ketika satu lawatan ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang telah melihat bencana paling teruk setakat ini.

Pakistan mengesahkan angka kematian berjumlah 248 orang dengan lebih 1,600 orang cedera, namun pihak berkuasa bimbang jumlah tersebut mungkin meningkat dengan perhubungan dari beberapa rantau, seperti daerah Kohistan, masih terputus.

Tentera telah mengetuai usaha menyelamat di Pakistan, menghantar kumpulan perubatan, khemah dan catuan ke kawasan terjejas dan memindah beberapa orang dengan helikopter.