Agensi Dentsu menang hak penyiaran Olimpik negara Asia

Agensi Dentsu menang hak penyiaran Olimpik negara Asia

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Reuters) – Agensi pengiklanan Dentsu memenangi hak penyiaran Olimpik 22 negara di Asia bagi tempoh 2018 hingga 2024, kata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), hari ini.

Perjanjian itu termasuk tiga edisi temasya Olimpik berturut-turut di Asia yang bermula pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan.

Ia diikuti Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 yang akan dianjurkan sama ada di Almaty, Kazakhstan atau Beijing, China selain Olimpik Musim Panas pada 2024.

Begitupun, tiada sebarang butiran kewangan yang didedahkan. Perjanjian itu turut termasuk hak untuk semua bahasa dan membabitkan semua platform media namun tidak termasuk pasaran terbesar di Asia iaitu China, Jepun dan Korea Selatan. Hak untuk ketiga-tiga negara itu akan dijual secara berasingan.

“Perjanjian ini bagi memastikan liputan penyiar Olimpik untuk semua peminat di rantau ini, termasuk siaran televisyen percuma,” kata Presiden IOC, Thomas Bach dalam satu kenyataan.

“Selepas memulakan hubungan penyiaran kami dengan Dentsu pada Olimpik Musim Sejuk di Sochi (Russia) pada 2014, saya gembira kami meneruskannya sehingga 2024.”

Negara yang terbabit dengan perjanjian itu ialah Afghanistan, Cambodia, Hong Kong, Indonesia, Iran, Mongolia, Laos, Kazakhstan, Filipina, Singapura, Uzbekistan, Vietnam, Thailand dan Malaysia.