Agensi PBB dinilai, beri bantuan makanan tidak berkualiti

Agensi PBB dinilai, beri bantuan makanan tidak berkualiti

KATHMANDU, 22 Jun (dpa) – Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diletakkan di bawah penelitian selepas bantuan makanan yang diedarkannya kepada mangsa-mangsa yang terselamat daripada gempa bumi Nepal didapati tidak menepati standard, menurut pihak berkuasa hari ini.

“Sepasukan komiti pemantauan parlimen telah tiba di Nepalganj untuk memeriksa lima lokasi penyimpanan makanan bagi Program Makanan Sedunia (WFP) di sini,” kata ketua pegawai daerah Banke, Bed Prakash Lekhak.

Tempat penyimpanan itu perlu diperiksa selepas beras diagihkan kepada mangsa gempa bumi di daerah Gorkha minggu lepas, didapati memiliki kualiti yang tidak dapat dimakan.

Sampel beras dan kekacang telah dibawa untuk siasatan, tambah pegawai.

Laporan media tempatan mengatakan 542 tan simpanan kekacang di lokasi berlainan di Nepalganj juga telah didapati dalam keadaan kurang berkualiti.

Namun WFP mengatakan kekacang yang disimpan itu tidak bermaksud untuk diedarkan kerana ia sudah diketepikan sebagai kurang standard.

WFP telah dikritik pada Mei selepas beras yang diedarkannya di daerah Kavre telah ditemui rosak dan menyebabkan cirit birit di kalangan kanak-kanak.

“Kami sudah menyisihkan bekalan substandard dan menggantikannya dan saya rasa ia sudah diuruskan,” kata penyelaras penduduk PBB di Nepal, Jamie McGoldrick selepas insiden sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA