Agensi pelancongan terokai keistimewaan Tutong

Agensi pelancongan terokai keistimewaan Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 30 Sept –Daerah Tutong berpotensi menjadi daerah destinasi pelancongan kerana ia mempunyai lebih 30 tempat yang boleh menarik para pengunjung dan untuk menyerlahkan lagi keistimewaannya, satu sesi Lawatan Business Matching Tutong Destination bersama agensi-agensi penyedia perkhidmatan pelancongan di negara ini diadakan hari ini.

Sebelum sesi lawatan diteruskan, rombongan berkumpul di ruang Lobi Jabatan Daerah Tutong bagi mendengarkan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku Ketua Penyelaras Sesi Pertemuan Niaga dan seterusnya menyaksikan persembahan kebudayaan. Dalam ucapan alu-aluan itu, Awang Wardi menjelaskan sebanyak lapan produk pelancongan yang telah dipilih untuk lawatan tersebut yang terdiri daripada eko-pelancongan, kebudayaan dan warisan Daerah Tutong, termasuklah lawatan ke tempat perkhidmatan penyediaan makanan serta tempat-tempat penginapan melalui inap desa tempatan (Homestay).

Awang Wardi berharap sesi lawatan yang melibatkan beberapa buah agensi pelancongan tempatan bersama usahawan dan pembekal perkhidmatan di luar daerah itu dapat memperkenalkan kepada pengunjung-pengunjung atau orang ramai mengenai pakej ‘Destinasi Tutong’ bagi percutian lebih menyeronokkan di daerah ini.

Rombongan seterusnya dibawa melawat ke Taman Rekreasi Sungai Basong, Tanah Tinggi Bukit Ambog, Tasbee Meliponiculture Farm, Badan Kebajikan Saudara-saudara Baru Kampung Kiudang, Mungkom (BASKIM), Teh Herba 3MPK, Ladang Limau Manis, Bintudoh Green Spring Resort dan menyaksikan Perusahaan VCO di Kampung Tanjong Maya.

Antara yang hadir pada sesi Lawatan ‘Business Matching Tutong Destination’ kelmarin.
Antara yang hadir pada sesi Lawatan ‘Business Matching Tutong Destination’ kelmarin.
Beberapa ahli rombongan mengambil kesempatan bergambar di Tanah Tinggi Bukit Ambog.
Beberapa ahli rombongan mengambil kesempatan bergambar di Tanah Tinggi Bukit Ambog.

Turut hadir mengikuti lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Ali.

Salah seorang peserta lawatan dari Syarikat Raudah al-Amin Sdn Bhd, Haji Abdul Rahman bin Mat semasa ditemu bual media pagi tadi merasa amat tertarik dengan pakej lawatan “Destinasi Tutong” yang ditawarkan dan berharap pakej itu akan disebarkan kepada agensi-agensi yang terlibat bagi memperkenalkan lagi Brunei ke negara luar.

Beliau sendiri amat kagum bahawa Daerah Tutong banyak mempamerkan tempat-tempat yang menarik dan mengesyorkan beberapa agensi yang terlibat agar bekerjasama dengan agensi pelancongan lain bagi mempamerkan Negara Brunei khususnya Daerah Tutong ke negara luar. Manakala salah seorang peserta lawatan dari Agensi Az Back To Nature, Dayang Siti Nurul Sarina binti Abdullah menjelaskan melalui lawatan tersebut, banyak tempat menarik yang diterokai dan dapat diambil manfaat bagi membuat pakej lawatan ke Daerah Tutong.

Program Destinasi Tutong ini bertujuan mendukung usaha-usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama dalam memangkinkan perkembangan sosioekonomi negara melalui perusahaan kecil dan sederhana untuk menjadikan masyarakat di daerah ini lebih berdikari, berdaya maju dan berdaya saing. Selain itu, program ini juga akan dapat menggalakkan pertumbuhan aktiviti-aktiviti pelaburan asing di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA