Agih minuman balai bomba

Agih minuman balai bomba

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Kira-kira 1,000 orang anggota bomba dan penyelamat akan bertugas di 25 buah balai bomba di seluruh negara pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua ini nanti

Sehubungan itu, bagi memeriahkan sambutan Hari Raya semasa mereka bertugas, minuman diagih-agihkan kepada para anggota berkenaan.

Penyampaian minuman berkenaan kepada pegawai-pegawai pemerintah di cawangan-cawangan operasi seluruh daerah telah diadakan di Unit Operasi Bomba Wanita, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas, di sini, hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian minuman ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abd Rahman.

Juga hadir ialah timbalan pengarah, para penolong pengarah, pegawai kanan, pegawai serta anggota dan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dengan penyampaian minuman tersebut, diharap anggota bomba dan penyelamat dapat merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri semasa mereka bertugas di balai-balai bomba di seluruh negara walaupun tanpa kehadiran keluarga disebabkan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Di kesempatan ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada selalu dalam keghairahan menyambut kedatangan bulan Syawal untuk lebih berhati-hati dan mengambil berat terhadap pencegahan kebakaran agar tidak lali dengan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kebakaran.

Pastikan melakukan ‘Senarai Semak’ sebelum meninggalkan rumah seperti mematikan mana-mana peralatan elektrik yang tidak diperlukan dan menutup atau menanggalkan alat atur gas (kepala gas) untuk mengelakkan kejadian kebocoran gas yang boleh menyebabkan kebakaran.

Jika terjadi sebarang kecemasan yang memerlukan khidmat dan nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat, orang ramai bolehlah menghubungi talian hotline kecemasan 995.

ARTIKEL YANG SAMA