Agihan daging korban Kampung Pelambayan

Agihan daging korban Kampung Pelambayan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Seramai 40 orang dari empat buah kampung di Mukim Kota Batu menerima sumbangan daging korban pada Majlis Pengagihan Daging Korban Penduduk Kampung Pelambayan ke-6 Tahun 2015 yang berlangsung di Rumah Ketua Kampung Pelambayan, hari ini.

Mereka yang menerima sumbangan itu termasuk 14 yang menyertai ibadah korban, 11 orang anak yatim dan fakir miskin yang terdiri daripada lima keluarga dari Kampung Pelambayan, tujuh keluarga dari Kampung Kota Batu dan Kampung Pintu Malim dan enam keluarga dari Kampung Dato Gandi.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk mengagihkan daging korban kepada para penerima ialah Setiausaha di Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam.

Hadir sama ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim dan Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pelambayan, Dato Paduka Haji Abu Bakar bin Haji Samad.

Ketua Kampung Pelambayan, Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Haji Junit dalam ucapan alu-aluannya berkata, bagi ibadah korban pada tahun ini sebanyak dua ekor kerbau telah dikorbankan bagi mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut di seluruh negara pada semalam.

Tetamu kehormat (empat dari kiri) diapit Pengerusi Majlis dan Awang Misle semasa membaca doa kesyukuran.
Tetamu kehormat (empat dari kiri) diapit Pengerusi Majlis dan Awang Misle semasa membaca doa kesyukuran.
Tetamu kehormat menyampaikan agihan daging korban kepada penerima.
Tetamu kehormat menyampaikan agihan daging korban kepada penerima.

Menurutnya, majlis yang diadakan buat kali keenam itu merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh MPK Pelambayan dengan matlamat untuk beramah mesra dan mengeratkan lagi silaturahim serta mengagihkan daging korban kepada penduduk yang hadir.

Beliau berkata, kesabaran dan pengorbanan yang benar-benar disandarkan atas sifat kehambaan dan ketakwaan kepada Allah akan menjamin kejayaan yang cukup bermakna, seperti mana pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail Alaihi Salam kerana menurut perintah Allah SWT.

Majlis bermula dengan laungan takbir Hari Raya, bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Pelambayan, Awang Nasehin bin Yahya, disusuli ucapan pengerusi majlis dan pengagihan daging korban kepada para penerima.