Agresif dan fokus

Agresif dan fokus

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – “Kita perlu memberikan fokus kepada persembahan kerana saya percaya bahawa ia akan membuka peluang jaringan dan memberikan peluang untuk memperbaiki permainan.

“Jika kita berjaya mencipta peluang, memperbaiki corak permainan dan menambah mata, pasti hasrat kita untuk menubuhkan sebuah pasukan yang digeruni akan tercapai meskipun kini kita masih belum mencapai ke tahap itu.”

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih DPMM FC, Steve Kean ketika ditemui dalam sesi ujian kecergasan di Mini Stadium Jerudong, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa DPMM FC mempunyai banyak peluang ketika berhadapan Albirex Niigata (S) FCdan mengawal baik perlawanan menentang Geylang yang berakhir dengan kedudukan Seri 1-1.

Menurutnya melihat kepada perkembangan itu, DPMM FC perlu mempunyai kawalan sepenuhnya dalam perlawanan dan menyatakan keyakinannya bahawa DPMM FC boleh menang mudah jika mereka berusaha memperbaiki keadaan bagi memastikan keputusan yang sama tidak berulang.

Steve Kean mahu anak buahnya memberikan fokus kepada persembahan agresif untuk mencari peluang jaringan dan memperbaiki mutu permainan. - Reuters
Steve Kean mahu anak buahnya memberikan fokus kepada persembahan agresif untuk mencari peluang jaringan dan memperbaiki mutu permainan. – Reuters

“Kita perlu meneruskan tahap permainan itu, namun perlu juga lebih agresif dalam pencarian gol, selain benar-benar fokus memastikan tiada bolos di gawang sendiri,” ujar Steve Kean sebelum mengingatkan pemain untuk terus bersabar dalam perkembangan pasukan.

Menurutnya para pemain perlu lebih bersabar dan peka dengan keadaan permainan, mereka perlu memastikan untuk tidak menempatkan terlalu ramai pemain di sebelah hadapan dan pada masa yang sama masih menjaga pertahanan.

“Jika kita cukup sabar pasti ada kesilapan yang akan dibuat oleh pihak lawan dan membuka peluang kepada kita untuk berjaya membolosi gawang mereka,” ujarnya lagi kepada Media Permata hari ini.

Apabila ditanya mengenai gandingan Awangku Yura Indera Putera dan Mclean Brian Stuart, menurutnya gandingan ini akan dikekalkan buat perlawanan seterusnya kerana padanya kedua-dua mereka saling sefahaman dalam mengatur gerakan dan sesekali membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan.

“Kita perlu membuat sesuatu pada pertahanan terutama pada kala kita menguasai bola dan perlawanan dan pada saya itu adalah antara fokus yang diberikan bagi perlawanan seterusnya untuk memastikan gawang kita tidak dibolosi,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai kejayaan dua pemainnya yang berjaya dalam ujian kecergasan baru-baru ini, beliau berbesar hati dengan kejayaan Awang Mohd Hendra Azam bin Mohd Idris dan Awang Aminuddin Zakwan bin Mohd Tahir untuk tersenarai dalam skuad utama di cabaran Liga S kali ini.

“Walau bagaimanapun kedua-dua mereka masih belum disenaraikan dalam kesebelasan utama kerana beberapa faktor semasa termasuk taktik dan corak permainan yang perlu disesuaikan, selain memastikan mereka rehat secukupnya sebelum memikul tanggungjawab tinggi dalam cabaran Liga-S 2016 ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa dua pemain telah digugurkan daripada skuad DPMM FC antaranya adalah Awang Mohd Amalul Ariffin Shah bin Said dan penjaga gol ketiga Awang Suhandi bin Mahali.

DPMM FC akan melayani Warriors FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas esok (27 Februari 2016).