Aguero atau Higuain?

Aguero atau Higuain?

BUENOS AIRES, 24 Mac (Reuters) – Pengendali Argentina, Gerardo Martino menyambut baik kepulangan Lionel Messi ke dalam pasukan kebangsaan sambil mengakui dia kini berdepan dilema memilih dua penyerang terbaik untuk diturunkan dalam aksi kelayakan Piala Dunia bertemu Chile di tempat lawan, malam ini.

Kapten Messi diulit kecederaan sepanjang empat aksi pertama Argentina dalam kempen kelayakan tahun lalu dan pasukan gergasi dunia itu agak tempang tanpa kehadirannya.

Mereka hanya mengutip lima mata daripada semua perlawanan itu untuk berada di kedudukan keenam kumpulan zon kelayakan Amerika Selatan. “Kehadiran Messi sentiasa penting dan memberi motivasi kepada pasukan,” kata Martino pada sidang media semalam sebelum bertolak ke Santiago bersama pasukannya.

Dia berdepan kesukaran untuk memutuskan sama ada menyenaraikan Sergio Aguero atau Gonzalo Higuain untuk mengepalai jentera serangan Argentina kerana kedua-dua penyerang itu sedang melalui kempen yang baik di peringkat kelab.

Martino berdepan kesukaran untuk menyenaraikan Sergio Aguero (kiri) atau Higuain untuk mengetuai jentera serangan Argentina. – Reuters
Martino berdepan kesukaran untuk menyenaraikan Sergio Aguero (kiri) atau Higuain untuk mengetuai jentera serangan Argentina. – Reuters

Ia adalah pertemuan pertama sejak Chile menewaskan Argentina menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Copa America tahun lalu. Penyerang Napoli Higuain dan Aguero (Manchester City) membentuk kuartet empat serangkai Argentina termasuk Messi dan Angel Di Maria dalam beberapa aksi kelayakan Piala Dunia 2014.

Namun Martino, yang mengambil alih pasukan itu selepas Piala Dunia Brazil 2014, hanya berminat untuk menggunakan salah seorang pemain saja.

“Kami mempunyai dua daripada lima penyerang terbaik dunia, jadi dengan cara kami bermain saya terpaksa tidak berlaku adil kepada salah seorang pemain,” kata Martino.

“Sesiapa yang bermain pasti akan merasa baik, sesiapa yang tidak pasti merasa sebaliknya.”

Martino turut memanggil Paulo Dybala, yang sedang membina nama sebagai penyerang disegani, tetapi penyerang Juventus itu terpaksa menarik diri daripada pertemuan Chile dan Bolivia Selasa ini kerana mengalami kecederaan.