Aguero didakwa akibat bertindak ganas

Aguero didakwa akibat bertindak ganas

LONDON, 31 Ogos – Penyerang Manchester City Sergio Aguero bakal terlepas pertemuan penting Manchester selepas dia didakwa akibat bertindak ganas oleh Persatuan Bola Sepak England, kelmarin.

Dakwaan itu berkaitan dengan insiden ketika kemenangan City 3-1 di laman sendiri ke atas West Ham United pada Ahad lalu apabila Aguero dilihat menghayunkan siku kirinya terhadap pertahanan lawan, Winston Reid.

Dia kemudian berdepan penggantungan tiga perlawanan jika didapati bersalah, yang bakal menyebabkan dia terlepas mengikuti kunjungan City bertemu Manchester United pada 10 September, perlawanan menentang Bournemouth di laman sendiri dan kunjungan ke Swansea City dalam Piala Liga.

“Sergio Aguero didakwa atas perbuatannya bertindak ganas yang tidak dilihat pegawai perlawanan tetapi berjaya dirakam dalam video,” menurut FA dalam satu kenyataan dalam laman web.

“Penyerang Manchester City itu terbabit dalam insiden dengan Winston Reid dari West Ham United pada minit ke-76 perlawanan Ahad (28 Ogos 2016).”

Pengadil perlawanan, Andre Marriner tidak menghukum Aguero ketika itu tetapi rakaman pada insiden itu disaksikan panel yang terdiri daripada tiga bekas pengadil, yang mahukan kad merah dilayangkan.

Aguero, 28, mempunyai sehingga awal pagi esok untuk memberi maklum balas terhadap dakwaan itu. Pemain itu turut dipinggirkan daripada skuad Argentina bagi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Venezuela berikutan kecederaan betis.

City dan United akan bertemu di Old Trafford dengan berkongsi mata di puncak Liga Perdana selepas masing-masing memenangi tiga perlawanan pertama mereka. Chelsea juga mempunyai rekod yang bagus. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA