Aguero harapan City

Aguero harapan City

MANCHESTER, United Kingdom, 18 Sept (AFP) – Pemimpin Liga Perdana Manchester City berharap kepulangan awal Sergio Aguero daripada kecederaan boleh mencetuskan respons segera selepas krisis Liga Juara-Juara terbaru mereka.

Pasukan Manuel Pellegrini berasa gembira setelah memenangi lima perlawanan Liga Perdana mereka, maka adalah mengejutkan pada Selasa apabila mereka tewas 2-1 di tempat sendiri kepada Juventus yang telah memulakan musim Serie A dengan lembap.

City kini mempunyai tugas untuk memulihkan momentum mereka, dengan memperoleh kemenangan Liga Perdana ke-12 berturut-turut mereka. Bagaimanapun, penghalang mereka adalah pasukan West Ham yang telahpun mengumpul kemenangan ke atas Arsenal dan Liverpool musim ini.

Dengan rekod berkenaan, pasukan Slaven Bilic tidak boleh dipandang remeh. Di tengah kesuraman Eropah mereka pada pertengahan minggu, satu berita baik untuk City adalah pemulihan segera Sergio Aguero daripada kecederaan lutut.

Sergio Aguero (tengah) mengerang kesakitan selepas cedera ketika menentang Crystal Palace sambil diperhatikan oleh pemain Palace Martin Kelly (kiri) dan Bakary Sako (kanan) di Selhurst Park, 12 September lalu. - AFP
Sergio Aguero (tengah) mengerang kesakitan selepas cedera ketika menentang Crystal Palace sambil diperhatikan oleh pemain Palace Martin Kelly (kiri) dan Bakary Sako (kanan) di Selhurst Park, 12 September lalu. – AFP

Penyerang Argentina itu terpaksa keluar ketika separuh masa pertama kemenangan 1-0 Sabtu lalu di Crystal Palace, pada mulanya disingkirkan daripada perlawanan Juventus, hanya muncul untuk tujuh minit terakhir sebagai pengganti.

“Ia merupakan satu risiko untuk menggunakannya,” kata Pellegrini. “Saya cuba tidak menggunakannya kerana jika dia ditendang di tempat yang sama, ia mungkin memerlukan beberapa hari lagi untuk sembuh. Nasib baik dia tidak mempunyai sebarang masalah dan saya berharap dia akan sihat esok.”

Dalam bahagian pertahanan, City akan memeriksa keadaan kapten Vincent Kompany, yang memainkan peranan penting dalam lima perlawanan liga mereka setakat ini.

Kompany keluar dengan kecederaan buku lali 15 minit sebelum perlawanan berakhir dengan kekalahan di tangan Juventus, walaupun dia mencadangkan tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.

ARTIKEL YANG SAMA