Aguero lonjak semangat Citizen

Aguero lonjak semangat Citizen

SWANSEA, 23 Sept – Permulaan sempurna Pep Guardiola di Man City sedikit terganggu apabila Vincent Kompany cedera semasa beraksi pada pertengahan minggu tetapi penjaring prolifik Sergio Aguero kembali beraksi untuk Citizen menentang Swansea, malam esok.

Kapten pasukan Kompany dibelenggu kecederaan berulang sejak dua tahun lalu dan bermain perlawanan pertama sejak enam bulan pada Rabu lalu selepas pulih daripada pembedahan pangkal paha.

Citizen menang 2-1 ke atas Swansea dalam pusingan ketiga Piala Liga dan bek tengah Belgium itu tampak baik sehinggalah pada minit kedua masa kecederaan apabila dia meluru ke dalam terowong selepas Gylfi Sigurdsson menjaringkan gol Swansea, dengan permainan masih berbaki beberapa minit.

Tahap kecergasan Kompany merisaukan Guardiola dalam persiapannya menghadapi pasukan kendalian Francesco Guidolin buat kali kedua dalam tempoh empat hari di Stadium Liberty.

Kompany dijangka tidak akan diturunkan, tetapi pemain yang pasti akan memainkan peranan untuk City ialah Aguero. Penyerang Argentina itu sudah menamatkan penggantungan tiga perlawanan selepas dia didapati menyiku pertahanan West Ham Winston Reid ketika saingan liga bulan lalu.

Aguero (kiri) cuba melepasi cabaran pemain Moenchengladbach, Andreas Christensen semasa aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, 14 September lalu. – AP
Aguero (kiri) cuba melepasi cabaran pemain Moenchengladbach, Andreas Christensen semasa aksi Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, 14 September lalu. – AP

Kepulangan Aguero mungkin akan menyebabkan bintang baru City, Kelechi Iheanacho yang menyerlah sepanjang ketiadaannya, terpaksa bermula di bangku simpanan.

“Jika kami kembali ke Manchester pada Khamis untuk berehat, dan perlu datang semula ke sini pada pagi Jumaat,” kata Guardiola.

“Saya lebih suka berada di sana untuk persiapan kerana minggu ini cukup penting buat kami. Kami mempunyai dua perlawanan Liga Perdana di tempat lawan. kami mempunyai perlawanan Liga Juara-Juara yang penting bertemu Celtic di Glasgow.

“Saya mahu kami pulih segera, berlatih dengan baik, dan bersedia untuk dua perlawanan di Swansea, untuk Liga Juara-Juara dan kunjungan ke Spurs.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA