Aguero luah hasrat tinggalkan City

Aguero luah hasrat tinggalkan City

BUENOS AIRES, 11 Mac (Reuters) – Penyerang Argentina, Sergio Aguero (gambar) berhasrat meninggalkan Manchester City dan kembali ke pangkuan kelab pertama dinaunginya, Independiente apabila kontraknya tamat selepas Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun, laporan media sebelum ini melaporkan pemain berusia 27 tahun itu yang juga penjaring terbanyak City dengan 16 gol dalam saingan liga musim ini mungkin dilanjutkan kontraknya sehingga 2020.

“Dalam beberapa bulan ini ramai yang menyatakan mengenai lanjutan kontrak saya tetapi saya tidak pernah memberi penekanan terhadapnya,” kata Aguero yang menyertai City dari Atletico Madrid pada 2011 itu.

“Saya tahu kontrak saya tamat selepas Piala Dunia (di Russia pada 2018) dan saya akan kembali ke kelab Independiente,” katanya kepada sebuah stesen radio.

Aguero memulakan karier bola sepaknya di Independiente, salah sebuah kelab ‘Lima Terbesar’ di Argentina, dan dia membuat penampilan sulungnya pada usia 15 tahun sebelum berpindah ke Atletico Madrid pada 2006.

Manchester City's Sergio Aguero celebrates scoring a goal during their English Premier League soccer match against Tottenham Hotspur at the Etihad Stadium in Manchester

“Di City semuanya sentiasa yang terbaik, kelab sentiasa memberitahu saya yang mereka sangat terbuka (untuk berpindah) sekiranya ada peluang tiba,” kata Aguero.

“Apabila saya meninggalkan kelab, selepas kontrak tamat, saya akan ke Argentina untuk bermain bersama The Reds (Independiente), dari Manchester terus ke Avellaneda.”

Sementara itu, Aguero berkata, dia seakan berdepan situasi ‘pelik’ apabila mengetahui pengurus City dari Chile, Manuel Pellegrini bakal meninggalkan kelab Jun ini dan digantikan dengan bekas pengendali Barcelona dan ketika ini Bayern Munich, Pep Guardiola.

“Ia seakan gila dengan berbaki empat bulan untuk mengetahui jurulatih kamu akan meninggalkan pasukan dan juga untuk mengenali penggantinya selepas itu, tetapi itulah yang berlaku ketika ini,” katanya.

“Harap-harap kami boleh memenangi sesuatu untuk dihadiahkan kepada Pellegrini dan kemudian menyesuaikan diri dengan apa yang dikehendaki Pep Guardiola daripada kami.”

ARTIKEL YANG SAMA