Aguero muncul wira Man City

Aguero muncul wira Man City

MANCHESTER, 15 Sept – Sergio Aguero menjaringkan hatrik ketika Manchester City membenam Borussia Moenchengladbach, 4-0 pada pertembungan pembukaan Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, pagi tadi.

Perlawanan itu sepatutnya berlangsung, semalam namun terpaksa ditunda susulan hujan lebat dan ribut kilat ketika Aguero tampak enggan mensia-siakan masanya yang terbuang dengan mencatatkan hatrik keduanya di pentas Eropah musim ini selepas turut melakukannya ketika menentang Steaua Bucharest di pusingan playoff.

Penyerang Argentina itu yang ketika ini sedang menjalani penggantungan di liga domestik meledak dua gol pada babak pertama dan menambah jaringan pada babak kedua dengan gol terakhir City disumbangkan Kelechi Iheanacho.

Pengurus City, Pep Guardiola berkata, penundaan perlawanan itu tidak memberi kesan yang buruk kepada pemainnya.

“Kami berada di laman sendiri, tidur bersama isteri kami,” kata pengurus kelahiran Sepanyol itu yang mula mengendali City, musim ini.

Sergio Aguero beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut apabila berjaya menjaringkan hatrik buat pasukannya. – AP
Sergio Aguero beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut apabila berjaya menjaringkan hatrik buat pasukannya. – AP

“Ini adalah perlawanan terbesar kami pada musim ini setakat ini. Menilai kepada lawan, tekanan yang kami peroleh, kami benar-benar bermain dengan amat bagus.”

Dengan bekas pasukannya, Barcelona dan Celtic turut berada dalam Kumpulan C, Guardiola memberi amaran kepada pemainnya yang memulakan kempen kali ini dengan sempurna sebagai penting.

City mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali musim lalu ketika Guardiola yang sudah memenangi ketujuh-tujuh perlawanan sejak menjawat tugas itu berusaha untuk menjulang trofi keagungan bola sepak Eropah itu buat kali ketiga.

Bagi Moenchengladbach, ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat skuad yang dibimbing Andre Schubert itu selain turut tewas kepada kelab Inggeris pada musim lalu di peringkat kumpulan.

“Kami perlu membetulkan semuanya, menjadi lebih berani dan menyerang dengan intensiti yang tinggi,” kata Schubert.

“Kami tidak berjaya melakukannya. Kami tidak mampu menghalang gerakan City dan kami tidak menunjukkan kualiti di bahagian pertahanan. Disebabkan itulah mengapa City boleh menang dengan mudah.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA