Ahanapiah catat hole-in-one pada hari ketiga

Ahanapiah catat hole-in-one pada hari ketiga

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters Ke-20 menempa satu lagi sejarah hari ini apabila seorang lagi pemain berjaya melakukan pukulan hole-in-one pada lubang kedua Par 3 yang menawarkan hadiah kereta Porsche Panamera yang bernilai $175,800.

Pukulan bertuah itu dibuat oleh Awang Ahanapiah bin Haji Md Noor pada jarak 148 meter dengan menggunakan Lapan Iron sejurus selepas pukulan pada jam 9 pagi di hari ketiga di Kelab Golf Diraja Brunei (RBRC).

Beliau adalah pemain kedua mencipta pukulan hole-in-one pada lubang yang sama setelah Awang Ahmad Izzat bin Dato Seri Setia Haji Mohd Zaimi berjaya melakukan pukulan hole-in-one pertama pada hari pertama kejohanan Jumaat lalu.

Di sebalik keadaan cuaca yang redup dan agak berangin, kejayaannya itu tidak sepenuhnya disebabkan oleh ‘pukulan bertuah’ tetapi juga atas kegigihan dan keyakinan beliau berlatih selama dua hari membuat pukulan tepat untuk hole-in-one yang diidam-idamkan sejak 10 tahun berjinak-jinak dengan sukan golf.

Ketika ditemu bual, Awang Ahanapiah mengakui gembira dengan kejayaannya itu tanpa menyangka tuah beliau menyerlah setelah menyertai Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters untuk kali keempat.

pg01_150504_b

Awang Ahanapiah (dua kiri) bersama rakan sepasukan.
Awang Ahanapiah (dua kiri) bersama rakan sepasukan.

Mengimbas kembali detik-detik sebelum membuat pukulan, Awang Ahanapiah berkata beliau pada mulanya menarik kayu golf Tujuh Iron, namun setelah mengkaji jarak lubang yang hampir 150 meter dan keadaan angin, beliau kemudiannya menukar kepada Lapan Iron untuk melepaskan pukulan merentasi sebuah kolam lalu mendarat terus menuju lubang.

“Sebaik saja pukulan itu dilepaskan saya dan tiga lagi rakan sepasukan nampak bola itu mendarat tetapi hilang daripada pandangan sekali gus membuatkan kami terkejut bercampur teruja untuk memastikan kedudukannya,” kata beliau.

Sambil tersenyum simpul, Awang Ahanapiah berkata, beliau dan rakan-rakannya bergegas ke lubang terbabit lalu mengambil gambar sehinggakan perasaan kegembiraan itu sedikit menyukarkannya untuk menumpukan perhatian kepada permainan seterusnya.

Menurutnya, beliau telah berlatih untuk memperbaiki pukulannya di Padang Golf Pantai Mentiri dua hari sebelumnya dan latihan terakhir semalam.

Walaupun tidak menafikan tuah dan nasib baik banyak memainkan peranan dalam kejayaannya, latihan dan pengalaman terutama sejak enam tahun lalu, untuk mendapatkan pukulan keramat itu turut menyumbang kepada keupayaan beliau membuat pukulan yang jarang sekali dilakukan oleh pemain golf, apatah lagi membuat pukulan hole-in-one di lubang yang sama dan pada kejohanan yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA