AHKFTA mampu wujudkan kerjasama serantau

AHKFTA mampu wujudkan kerjasama serantau

BEIJING, 19 Mei (Bernama) – Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Hong Kong (AHKFTA) yang dijangka dimuktamadkan tahun ini boleh mewujudkan kerjasama di rantau ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Ia juga akan memanfaat dan memaksimumkan potensi dan peluang daripada inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan oleh China, tambahnya.

“Rundingan sedang dijalankan dan dijangka dimuktamad dan dilaksana pada tahun ini,” tambahnya.

Ong mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Shenzhen dan Hong Kong mulai 16 hingga 19 Mei. Beliau juga dijemput sebagai ahli panel pada Sidang Kemuncak Jalur dan Jalan 2016 di Hong Kong.

“Hong Kong adalah rakan kongsi dagangan utama Malaysia dan memainkan peranan penting di rantau ini. Pada 2015, jumlah dagangan dengan Hong Kong meningkat 1.2 peratus kepada US$12.44 bilion berbanding 2014.

“Hong Kong adalah rakan kongsi kesembilan terbesar di peringkat global, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import ke-14 terbesar,” katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Ong berkata, setakat 31 Dis 2015, sebanyak 441 projek pengeluaran dengan penyertaan Hong Kong dilaksanakan dengan nilai pelaburan US$1.79 bilion.

ARTIKEL YANG SAMA