Ahli AIPA perlu bersatu

Ahli AIPA perlu bersatu

NAY PYI TAW, Myanmar – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Perhimpunan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-37 yang dirasmikan hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Myanmar (MICC), Nay Pyi Taw, Myanmar.

Perasmian perhimpunan agung yang membawa tema ‘Vibrant AIPA for a Progressive ASEAN Community’ itu telah disempurnakan oleh Penasihat Negara Myanmar, Daw Aung San Suu Kyi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, dalam ucapan perasmiannya, Daw Aung San Suu Kyi berkata bahawa negara-negara ahli AIPA perlu bersatu selaku wakil rakyat dalam memastikan keharmonian negara dan orang ramai.

Melalui pertubuhan AIPA, katanya, dapat mempromosi hak-hak kemanusiaan, demokrasi, kedamaian, keselamatan dalam memperkukuh ASEAN; walaupun perkara ini penuh cabaran untuk dapat dipenuhi.

Justeru para perundangan hendaklah memperjuangkan hak-hak orang ramai untuk meningkatkan kepercayaan daripada mereka dalam kalangan komuniti secara komprehensif dan konstruktif, tambahnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bergambar ramai bersama speaker-speaker negara ahli AIPA di Myanmar.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bergambar ramai bersama speaker-speaker negara ahli AIPA di Myanmar.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman ketika berucap di Pusat Persidangan Antarabangsa Myanmar (MICC), Nay Pyi Taw, Myanmar.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman ketika berucap di Pusat Persidangan Antarabangsa Myanmar (MICC), Nay Pyi Taw, Myanmar.

Rombongan Negara Brunei Darussalam turut dihadiri oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar; dan Duta Besar Negara Brunei di Myanmar, Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir, berserta pegawai-pegawai Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.

Sebelum majlis pembukaan rasmi, Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman bersama speaker-speaker negara ahli AIPA telah menghadiri Mesyuarat Komiti Eksekutif, yang berobjektif mesyuarat untuk membincangkan agenda-agenda mesyuarat dalam komiti-komiti, resolusi yang akan dibincangkan dalam komiti-komiti dan perkara-perkara yang berbangkit.

Sementara itu, semasa Sidang Sesi Plenari Pertama yang dipengerusikan oleh Presiden AIPA, speaker-speaker negara ahli AIPA telah menyampaikan ucapan.

Menurut kenyataan itu, Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya antara lain telah memberikan kenyataan bahawa Negara Brunei Darussalam terus memberikan sokongan penuh kepada mesyuarat tersebut.

Beliau juga berucap bahawa pada tema Perhimpunan Agung AIPA tahun ini menggesa jangkaan bagi AIPA untuk terus menghadapi dan bertindak kepada isu-isu yang semakin meningkat dan menjejaskan kehidupan rakyat yang diwakili, yang juga selaras dengan tema Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 yang diadakan di Vientiane iaitu ‘Turning Vision into Reality for a Dynamic ASEAN Community’.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin juga menyatakan harapan agar negara-negara anggota ASEAN akan dapat mencapai hasrat dan keinginan untuk hidup di rantau yang aman, selamat serta stabil, perkembangan ekonomi yang berterusan, kemakmuran dan kemajuan sosial serta maju ke hadapan ke arah ASEAN 2025.

Perhimpunan agung ini akan bersidang selama tiga hari dan akan membincangkan isu-isu serantau di peringkat komiti eksekutif, WAIPA, politik, ekonomi, sosial, organisasi dan Joint Communique.

ARTIKEL YANG SAMA