Ahli ASMDB diseru terus komited

Ahli ASMDB diseru terus komited

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Semua lapisan anggota Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei (ASMDB), sama ada ahli tetap mahupun ahli simpanan ASMDB terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam sama-sama berusaha untuk merealisasikan matlamat penubuhan ASMDB.

“Ia adalah untuk mendapatkan sumber tenaga tentera tambahan, yang terlatih untuk membantu Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, pada masa darurat, menanam perasaan cintakan kepada raja, bangsa, negara dan agama.”

“Sentiasa bersedia menabur jasa bakti, pada bila-bila masa dikehendaki. Melatih diri dalam mempertingkatkan mutu disiplin, ketahanan diri dan berakhlak mulia,” tegas Pegawai Pemerintah Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, Leftenan Kolonel Haji Mohd Sheh bin Haji Bagul ketika berucap di Upacara Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei ke-28 yang berlangsung di Padang Kawad Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, Kem Rimba Gadong, hari ini.

Beliau berkata bahawa ASMDB telah berjaya menjalankan pelbagai tugasan yang diamanahkan pada 2015 dan pada 2016, beliau yakin bahawa semua anggota ASMDB akan terus melaksanakan apa-apa jua latihan mahupun tugasan kemasyarakatan dengan lebih baik dan berjaya.

Bagi mencapai hasrat itu, beliau berkata kehadiran anggota-anggota ASMDB pada setiap panggilan dan bergiat aktif dalam menjalankan latihan adalah faktor utama dalam menyumbang kepada kejayaan itu.

Leftenan Kolonel Haji Mohd Sheh ketika memeriksa perbarisan.
Leftenan Kolonel Haji Mohd Sheh ketika memeriksa perbarisan.
Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun ASMDB ke-28 yang berlangsung kelmarin.
Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun ASMDB ke-28 yang berlangsung kelmarin.

“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk sentiasa memastikan semua anggota, mempunyai cukup kemahiran dan pengetahuan, seperti yang telah diajarkan oleh jurulatih, adalah semata-mata untuk persiapan dalam menghadapi apa-apa jua tugasan yang diamanahkan.”

Beliau menambah lagi, “Program latihan juga telah diubahsuai, sebagai daya tarikan untuk menarik minat ahli-ahli pesara ABDB, yang memenuhi syarat untuk berkhidmat sebagai anggota Askar Simpanan.” Beliau juga menasihatkan semua anggota ASMDB untuk terus menjaga tahap disiplin yang tinggi bukan sahaja untuk menjaga nama baik ASMDB tetapi juga ABDB.

“Saya sekali lagi ingin menasihatkan kepada semua anggota-anggota Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, untuk menjaga tahap disiplin yang tinggi, di mana-mana saja berada, demi menjaga nama baik Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei khususnya dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei amnya.”

Upacara perbarisan itu disertai oleh kira-kira 130 anggota terdiri daripada ahli tetap dan ahli simpanan ASMDB di mana perbarisan itu diketuai oleh Ahli Simpanan Mejar Alizameri bin Latif.

Pelbagai acara telah diadakan sebelum upacara perbarisan itu, bersempena dengan Ulang Tahun Penubuhan ASMDB ke-28 di mana di antara kegiatan-kegiatan yang diadakan termasuklah kerja-kerja amal membersihkan dan membesarkan kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam dan membersihkan masjid.

Di samping itu, pada 26 November lalu, Majlis Doa Kesyukuran juga diadakan di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

ASMDB telah ditubuhkan pada 27 November 1987 dan telah diisytiharkan penubuhannya oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.