Ahli ekonomi turunkan ramalan kadar 1.9% daripada 2.2%

Ahli ekonomi turunkan ramalan kadar 1.9% daripada 2.2%

SINGAPURA, 16 Mac (Agensi) – Prospek pertumbuhan Singapura bagi tahun ini telah malap, menurut satu tinjauan baru ke atas ahli ekonomi sektor swasta yang dikeluarkan pada hari ini.

Mereka kini menjangka ekonomi negara ini berkembang pada kadar sederhana 1.9 peratus tahun ini, turun daripada unjuran awal 2.2 peratus dalam edisi Disember kaji selidik suku tahunan yang dijalankan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Tinjauan terkini bulan ini (Mac) itu, yang dijalankan pada 24 Feb, mencerminkan pandangan yang diterima daripada 24 ahli ekonomi yang memantau ekonomi Singapura.

Ramalan pertumbuhan pemerintah ialah antara 2 dan 4 peratus tahun ini.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, ahli ekonomi yang dikaji menjangka pertumbuhan 1.6 peratus.

Responden kaji selidik itu menjangka inflasi bagi tahun ini pada kadar negatif 0.2 peratus, turun daripada anggaran peningkatan 0.5 peratus dalam tinjauan sebelumnya.

Mereka yang ditinjau juga menjangka kadar inflasi teras MAS sebanyak 0.8 peratus, turun daripada peratus 1 peratus diunjurkan dalam tinjauan sebelumnya.