Ahli niaga Indonesia, Sarawak digesa bekerjasama

Ahli niaga Indonesia, Sarawak digesa bekerjasama

KUCHING, 23 Jun (Bernama) – Ahli perniagaan Sarawak dan Indonesia digesa bekerjasama menerusi pakatan yang menguntungkan kedua-dua pihak dalam bidang perdagangan, pelancongan, buruh serta pertanian.

Ketika membuat gesaaan itu, Konsul Jeneral Indonesia ke Sarawak, Japak Gultom berkata kolaborasi itu akan dilaksanakan mengikut semangat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang dijangka dimulakan pada akhir tahun ini.

Bercakap pada acara selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-64 Dewan Perniagaan dan Perindusrian Sarawak (SCCI) di sini, hari ini, Japak berkata jumlah perdagangan antara Indonesia dan Sarawak telah berkembang dari tempoh 2011 hingga 2013.

“Pada 2011, jumlah dagangan itu adalah RM1.09 bilion dengan lebihan dicatat Sarawak sebanyak RM208 juta.

“Pada tahun 2012, angka itu mencecah rekod RM86 bilion dengan lebihan bagi Indonesia sebanyak RM305.26 juta.

“Jumlah itu berkurangan pada 2013 kepada RM1.41 bilion dan lebihan bagi Sarawak sebanyak RM66.4 juta,” katanya.

Beliau turut mempelawa ahli SCCI ke Ekspo Perdagangan Indonesia Kali Ke-30 di Jakarta pada 21-25 Oktober depan bagi meneroka peluang perniagaan yang ada.

Sementara itu, pada AGM berkenaan, Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg dipilih semula sebagai presiden SCCI bagi tempoh tiga tahun.