Ahli PBSM dinaikkan pangkat

Ahli PBSM dinaikkan pangkat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 5 Ogos – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), hari ini, telah mengadakan Majlis Pelantikan dan Penyerahan Tugas Pengarah Daerah Belait yang diadakan di Dewan Serba Guna, Pusat Belia, di sini.

Hadir untuk menyaksikan majlis pelantikan dan penyerahan tugas kepada Awang Hussin bin Omar selaku Pengarah Daerah Belait yang baru bagi menggantikan Awang Harris bin Abdul Latip, ialah Pengarah Kebangsaan PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Abu Bakar bin Abdul Rahman.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Awang Hussin yang sudah berkecimpung dalam persatuan tersebut lebih 30 tahun menyatakan beliau akan terus memberikan tunjuk ajar dalam latihan bantuan kecemasan kepada penduduk di daerah ini terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman.

Selain itu, beliau juga berharap semua ahli persatuan itu khususnya bagi Daerah Belait akan sentiasa meneruskan semangat kerja berpasukan dalam lebih memajukan lagi PBSM, serta akan memberikan bimbingan kepada pegawai-pegawai baru untuk menjadi pemimpin masa akan datang. Beliau turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk menjadi ahli PBSM.

Gambar ramai tetamu kehormat dan pegawai-pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam pada Majlis Kenaikkan Pangkat dan Menyerahkan Tugas Pengarah Daerah Belait PBSM.
Gambar ramai tetamu kehormat dan pegawai-pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam pada Majlis Kenaikkan Pangkat dan Menyerahkan Tugas Pengarah Daerah Belait PBSM.

Sementara itu, Awang Harris yang telah memegang jawatan Pengarah Daerah Belait PBSM sejak dua tahun lalu, dan kini dinaikkan pangkat ke Bahagian Latihan dan Perkembangan Peringkat Kebangsaan memberitahu, sepanjang menjadi Pengarah Daerah Belait, beliau telah banyak menjalankan latihan-latihan bantuan kecemasan untuk pegawai-pegawai PBSM di daerah ini selain turut memberikan latihan tersebut kepada kakitangan syarikat swasta di daerah ini.

Dengan kenaikan pangkat ke Bahagian Latihan di Peringkat Kebangsaan, katanya lagi, beliau akan terus memberikan banyak lagi kursus-kursus di peringkat kebangsaan dan seluruh negara, selain akan meneruskan membantu memberikan latihan di Daerah Belait dan daerah lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA