Ahli Persatuan Malayali bantu bersihkan pantai

Ahli Persatuan Malayali bantu bersihkan pantai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 2 Mei – Lebih 100 orang ahli Persatuan Malayali (MA) telah menyertai Kempen Membersihkan Pantai sempena memperingati Hari Bumi di kawasan Taman Jubli, di sini.

Kempen kali keempat anjuran MA sempena memperingati Hari Bumi bermula dari jam 5 petang hingga 6:15 petang, dengan kempen meliputi kawasan seluas kira-kira empat kilometer di sepanjang tepian pantai berkenaan.

Turut serta dalam kempen tersebut ialah Naib Presiden MA, Boby M dan juga Setiausaha Kebajikan MA, Arun Kumar G.

Awang Ramlee bin Haji Mat Said yang mewakili Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria pula telah melancarkan kempen dengan penyerahan sarung tangan dan beg plastik kepada Naib Presiden MA.

Boby M merakamkan penghargaan terhadap penyertaan semua ahli persatuan dalam mengusahakan aktiviti ini sesuai dengan tujuan penubuhan persatuan itu.

Ahli-ahli Persatuan Malayali bergambar ramai semasa kempen membersihkan pantai sempena memperingati Hari Bumi.
Ahli-ahli Persatuan Malayali bergambar ramai semasa kempen membersihkan pantai sempena memperingati Hari Bumi.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan yang telah memberikan kebenaran kepada mereka untuk melancarkan kempen sedemikian.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan ahli persatuan dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

Kerja-kerja seperti ini merupakan tanda penghargaan masyarakat Malayali terhadap masyarakat setempat.

Sepanjang kempen diadakan, hampir 80 beg sampah telah dikumpulkan dan MA merancang akan meneruskan aktiviti seperti itu dari semasa ke semasa seperti yang telah diadakan sejak dua tahun lalu sempena memperingati Hari Bumi.

ARTIKEL YANG SAMA